utama

'Tutup' hal peribadi

Oleh Norhayati Nordin

Pengalaman akan mematangkan diri seseorang. Itulah dilalui pelakon Dayana Roza, 27, yang sudah sembilan tahun mencanai bakat dalam industri seni tanah air.

Nama Dayana yang melonjak menerusi drama Asam Pedas Untuk Dia di TV3 pada 2015, nampaknya momentum kariernya terus meluncur laju.

Cuma, kebelakangan ini dia jarang mendapat publisiti kerana tiada cerita yang boleh dikongsi.

“Pengalaman mengajar saya untuk tenang dan positif dalam menangani apa saja isu termasuk kontroversi membabitkan kehidupan peribadi.

“Kalau dulu, saya terbuka berkongsi kisah cinta, sekarang selesa untuk tidak berikan sebarang komen.

“Lagipun, cukuplah dengan apa yang pernah dilalui dulu. Ia menyedarkan saya supaya berhati-hati dalam memperkatakan kisah peribadi,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nur Dayana Kamsun Baharin ini berkata kini hal berkaitan peribadi hanya dikongsi di media sosial seperti Instagram (IG).

“Apa saja aktiviti saya akan kongsi foto di IG. Jadi, yang mengikuti saya di media sosial akan tahu.

“Buat apa lagi saya berbicara lanjut mengenainya kerana kunci mulut itu adalah langkah terbaik,” katanya.

Mengulas perkembangan karier, Dayana berkata dia akan muncul dengan drama seram Mata Ketiga di portal Tonton.

Selain Dayana, drama itu turut dibintangi Hafreez Mikhail, Iesha Riana, Fimie Don dan Mustaqim Bahadon

Disiarkan sebanyak 16 episod sebagai drama siri asal Tonton, Mata Ketiga lebih menjurus pada kisah mistik dan persahabatan.

Baru-baru ini, Dayana turut membintangi telefilem Rama Rama di ntv7 dan memegang watak sebagai Sofea.

Menerusi telefilem Rama Rama itu, Dayana pertama kali berganding dengan pelakon berkaliber Nabila Huda.

“Walaupun baru pertama kali bergandingan, kami serasi dan seakan-akan sudah lama berkawan.

“Sebaik bersetuju terbabit dalam drama ini, saya terus hubungi Nabila dan kami berbincang untuk watak masing-masing,” katanya.

Dayana berkata dia puas melakonkan watak Sofea kerana ia berbeza daripada lakonan yang pernah dipersembahkan sebelum ini.

Sekalipun tidak cerewet, Dayana berharap berpeluang membawakan pelbagai karakter untuk mencabar keupayaan diri.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 9:09am
d