utama

Steady, Mek Korea! [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

HANYA dalam tempoh seminggu belajar bertutur Bahasa Melayu, gadis Korea juga mampu menghafal lagu dikir moden.

Perkara berkenaan boleh dilihat menerusi video tular yang menunjukkan You Narae, 26, menyanyikan lagu Kelate Kito.

Difahamkan, video terbabit dirakam teman lelaki You Narae, Nik Muhamad Ryzal Nik Ibrahim, 26, dan dikongsi ke kumpulan Whatsapp keluarga lelaki itu sebelum tersebar di Facebook.

Nik Muhammad Ryzal ketika dihubungi berkata, teman wanitanya itu memang berminat untuk mengetahui budaya masyarakat Melayu termasuk muzik tempatan.

“Saya memasang lagu Kelate Kito di Youtube dan You Narae suka mendengarnya terutama di bahagian korus kerana agak rancak.

“Dia meminta saya menulis lirik lagu dikir moden itu dan hampir seminggu dia berlatih menguasai Bahasa Melayu dalam lirik lagu itu sebelum menghafalnya dalam masa dua hari,” katanya.

Video nyanyian You Narae yang berdurasi 34 saat itu meskipun kedengaran pelat dari segi sebutan, tapi dia kelihatan terhibur semasa menyanyikannya sambil mengucapkan ‘Bereh Bohhh...’ di akhir nyanyian.

Sementara itu, Nik Muhammad Ryzal yang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan, berkata, You Narae juga sudah belajar makan menggunakan tangan serta cuba memakai tudung.

“Setiap kali saya berhubung dengan keluarga menggunakan video dalam WhatsApp, You Narae tidak melepaskan peluang untuk berinteraksi.

“Dia cuba meniru perkataan Melayu yang kami tuturkan dan akan bertanyakan saya apa maksud perkataan itu,” katanya.

Nik Muhammad Ryzal berkata, dia gembira melihat kesungguhan You Narae untuk mendalami budaya dan cara hidup masyarakat Melayu dan ia memudahkannya untuk membentuk wanita Korea itu seandainya jodoh milik mereka suatu hari nanti.

Nik Muhammad Ryzal yang berasal dari Kelantan menuntut di Universiti Korea, Seoul, sejak Disember tahun lalu dan berkawan rapat dengan You Narae sejak awal tahun ini.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 1:23pm
d