utama

Amelina lepas rindu setiap Isnin

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SEPANJANG pembabitan dalam program Gegar Vaganza 5 (GV 5), penyanyi dangdut Amelina terpaksa tinggal berjauhan dengan enam anaknya.

Amelina, 44, atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin berkata, itu pertama kali dia meninggalkan anak dalam tempoh lama sekali gus menyifatkan antara pengorbanan terbesar demi menyara keluarga.

“Sepanjang program ini saya tinggal di Kuala Lumpur bersama pihak pengurusan. Mereka sudah seperti adik saya. Anak tinggal dan dijaga emak di kampung. Alhamdulillah, setakat ini semuanya okey dan berjalan baik. Mereka faham tuntutan kerjaya saya.

“Namun, bagi mengubat kerinduan saya akan pulang ke kampung setiap Isnin. Jika tidak ada aktiviti membabitkan program, saya akan bermalam dan luangkan masa bersama anak. Walaupun tidak cukup untuk mereka, tetapi sekurang-kurangnya dapat lepas rindu.

“Walaupun mereka tak pernah cakap rindu, tetapi sebagai ibu saya dapat rasa dengan melihat reaksi mereka setiap kali nak kembali ke Kuala Lumpur. Malah, ada yang minta saya tunggu mereka pulang dari sekolah, baru saya balik. Diakui sayu hati setiap kali nak meninggalkan mereka,” katanya.

Amelina yang popular menerusi lagu Asyik berkata, dia juga tidak dapat menyembunyikan perasaan sunyi kerana berjauhan dengan anak.

“Selama ini saya sentiasa bersama anak dengan melayan kerenah mereka. Suasana bising dalam rumah adalah perkara biasa, apabila mereka tak ada memang sunyi dibuatnya.

“Pernah juga ajak mereka datang tengok persembahan setiap minggu, tetapi semuanya menolak. Mereka cakap, menonton di rumah lebih puas sebab nampak muka saya dekat. Kalau dalam dewan kena duduk jauh,” katanya.

Menurut Amelina, menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada enam anak menjadikannya lebih kuat untuk meneruskan pertandingan.

Walaupun timbul cakap-cakap mengatakan hidupnya penuh ‘drama’ dan sekadar ingin meraih simpati, Amelina berkata, dia hanya menjadi diri sendiri.

“Selain terpaksa berjauhan dengan keluarga, saya juga berkorban apabila menolak semua tawaran persembahan. Ia semata-mata untuk memberi fokus kepada pertandingan. Alhamdulillah, dari segi kewangan terjaga dan stabil. Pihak pengurusan juga banyak membantu.

“Ramai tidak tahu, saya buat ini demi peminat. Malah, apa yang mereka saksikan itulah diri saya yang sebenarnya. Saya selesa menjadi diri sendiri. Buat apa nak berdrama? Orang hanya pandai cakap kerana tidak berada di tempat saya,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Amelina merancang muncul dengan album mini selepas berakhirnya GV5.

“Dalam program ini orang sudah boleh tengok kemampuan saya yang boleh menyanyikan lagu daripada genre lain. Saya buang habis imej dan lagu dangdut yang menjadi kekuatan sebelum ini.

“Jadi, sebelum muncul dengan single dangdut saya mahu hadiahkan peminat dengan single lain dulu. Sama ada lagu pop atau balada, kena tunggu.

“Insya-Allah, saya juga merancang menghasilkan album mini yang memuatkan lima atau enam lagu. Bagaimanapun, semuanya masih dalam peringkat perbincangan bersama pihak pengurusan,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 5:30am
d