utama

Demi mahligai impian...

Oleh Mahaizura Abd Malik

KUALA LUMPUR: Siang menjadi penghantar makanan, malam pula mengambil upah membaiki gajet di kedai telefon bimbit manakala setiap Khamis dan Sabtu, dia membantu keluarga berniaga di pasar malam.

Itu usaha keras dilakukan seorang pemuda, Amin Fadhil Shaari, 24, bagi mengumpul wang belanja perkahwinan yang dirancang dilakukannya selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun lagi.

Amin Fadhil berkata, dia menyasarkan mengumpul RM20,000 untuk mengadakan majlis perkahwinan impiannya bersama pasangannya.

“Bukan kata hendak buat majlis besar-besaran, cuma memadai kami dapat mencipta satu kenangan manis untuk hari bahagia kami.

“Zaman sekarang majlis kecil atau besar semuanya memerlukan wang, jadi saya tidak mahu menyusahkan keluarga kedua-dua pihak.

“Saya anggap ini permulaan saya memikul tanggungjawab sebagai suami kelak,” katanya.

Menurutnya, selain majlis perkahwinan, dia juga perlu bekerja keras untuk simpanan masa depannya dan bakal isteri.

“Saya ada perancangan membeli rumah dulu sebelum kahwin dan ingin membuka sebuah kedai membaiki telefon bimbit.

“Jadi, saya mulakan dari sekarang untuk keselesaan bakal isteri dan anak nanti,” katanya.

Amin Fadhil berkata, dalam seminggu, dia mampu memperoleh pendapatan RM1,000 hasil empat kerja yang dilakukan tanpa mengambil cuti.

“Setiap Khamis saya perlu membantu ayah berniaga air koko di pasar malam di Jalan Ikan Emas, Cheras dan membantu ibu berniaga pakaian di Jalan Tunku Abdul Rahman pada Sabtu.

“Rutin saya pada hari lain adalah bekerja sebagai penghantar makanan di sebuah syarikat dan pada masa sama membaiki telefon bimbit di kedai telefon bimbit.

“Saya turut mengambil upah mengajar kursus membaiki telefon bimbit apabila ada permintaan,” katanya.

Amin Fadhil berkata, dia selesa melakukan semua kerja berkenaan kerana waktunya fleksibel.

“Saya tidak suka terikat dengan waktu kerja biasa kerana sebagai anak lelaki, saya juga perlu membantu keluarga berniaga.

“Kadangkala saya perlu melayan permintaan pelanggan yang mahu membaiki telefon bimbit sampai awal pagi.

“Penat memang penat tetapi berbaloi kerana hasilnya juga lumayan,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 8:03am
d