utama

Bapak jenis apa kau ni?

Oleh Hasbi Sidek

LELAKI tergamak mencabul tiga anak perempuannya yang berusia setahun, tiga dan lima tahun sejak tahun lalu.

Hasil pemeriksaan doktor pakar mendapati terdapat kesan koyakan lama pada bahagian sulit ketiga-tiga mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 32 tahun yang juga ibu kepada tiga beradik berkenaan.

“Pengadu yang bekerja sebagai pegawai pemasaran mendakwa tiga anak perempuannya yang berusia setahun, tiga dan lima tahun dicabul dan dirogol suaminya sendiri, lelaki berusia 32 tahun di rumah mereka di Semenyih, Kajang.

“Hasil siasatan awal oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kajang mendapati, pada 26 Oktober lalu, wanita berkenaan dimaklumkan ibunya bahawa anak perempuannya yang berusia tiga tahun mengadu dicabul suspek.

Beliau berkata, dalam masa sama, anak perempuan yang berusia lima tahun (mangsa kedua) juga memberitahu pernah diperlakukan perkara sama oleh suspek selain turut memberitahu pernah nampak suspek melakukan perkara sama kepada adik bongsu mereka yang berumur setahun (mangsa ketiga).

“Siasatan juga mendapati, mangsa pertama pernah memberitahu neneknya bahawa kemaluannya sakit akibat ‘dicucuk’ suspek pada 2017, namun ketika itu tiada siapa yang mempercayai aduan mangsa.

“Ketika itu ibu mangsa membawa anak perempuannya untuk membuat pemeriksaan doktor di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), namun doktor menyatakan tiada sebarang kesan mencurigakan,” katanya.

Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa dirujuk ke Hospital Kajang pada 24 Oktober lalu untuk menjalani pemeriksaan lanjut sebelum dimasukkan ke wad dan hasil pemeriksaan doktor pakar obstetrik dan ginekologi mendapati terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan ketiga-tiga mangsa selain pemeriksaan oleh doktor pakar pembedahan mendapati tiada kecederaan pada bahagian dubur.

“Susulan itu, tangkapan ke atas suspek dibuat pada 11.45 pagi 25 Oktober lalu di tempat kerjanya di Sungai Long, di sini. Suspek ditahan dan dibawa ke Mahkamah Kajang pada 26 Oktober untuk mendapatkan permohonan reman daripada Majistret.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376(b) Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dengan cadangan suspek dituduh dibawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 2017,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 1:57pm
d