utama

[UPDATE] 'Kenapa perlu sebar cerita lagi...' [METROTV]

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

AHLI Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang sengaja menyebarkan kes cabul remaja bawah umur membabitkan dirinya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu hairan dengan tindakan pihak terbabit walaupun keluarga remaja perempuan berkenaan sudah menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Saya akan berbincang dengan peguam mengenai tindakan boleh diambil terhadap pihak yang sengaja menyebarkan berita ini.

“Saya pelik kenapa perlu sebarkan lagi kerana keluarga remaja itu sudah menarik laporan polis.

“Kes ini sudah ditutup, kenapa perlu dipanjangkan oleh pihak media dan pihak tertentu,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri peguamnya, Thalia Rohaina Abdul Latiff.

Shahidan menyerahkan sepenuhnya kes terbabit kepada polis untuk menjalankan siasatan dan bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.

“Apa yang penting sekarang ialah maruah remaja terbabit dan keluarganya. Jangan sebarkan lagi cerita ini.

“Saya tidak kisah jika ini hanya babitkan diri saya tetapi ini membabitkan maruah dan masa depan remaja berkenaan,” katanya.

Ketika kejadian, Shahidan mendakwa mengunjungi tempat pertunjukan kumpulan buskers yang turut dianggotai remaja terbabit sebagai penyanyi untuk menyerahkan sumbangan diminta mereka.

“Saya tiba jam 11.40 malam dan selepas menyerahkan sumbangan kepada mereka, saya terus pulang.

“Malah, keluarga remaja itu juga berada berhampiran kenderaan saya ketika itu.

“Esoknya, pengurus kumpulan busker itu bernama Azhar memberitahu keluarga penyanyi kumpulan buskers itu mahu berjumpa saya,” katanya.

Katanya, beliau kemudian berjumpa dengan ahli keluarga terbabit, tetapi terkejut apabila diberitahu mereka membuat laporan polis terhadap dirinya atas dasar salah faham.

“Mereka juga memberitahu sudah menarik balik laporan terbabit.

“Saya tidak ambil hati kerana kami sudah bermaaf-maafan dan saya pasti keluarga remaja itu memahami kerana saya menganggap kumpulan buskers ini sebagai anak dan cucu saya,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk R Sri Sanjeevan, dilapor mendakwa wujud cubaan ‘menutup’ satu kes cabul remaja perempuan berusia 15 tahun oleh seorang kenamaan, baru-baru ini.

Sanjeevan mendakwa remaja perempuan itu dicabul Ahli Parlimen berkenaan dalam sebuah kereta di Kangar, Perlis, 20 Oktober lalu, namun belum ada tindakan diambil polis.

Berita berkaitan

Soal MP berhubung kes cabul remaja

[UPDATE] Siasatan kes cabul Ahli Parlimen hampir siap

Tiada niat sentuh mangsa - Ahli Parlimen

Sanjeevan, jangan sibuk kerja polis...

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 1:57pm
d