utama

Berturutan hilang kasih

Oleh Agensi

JAKARTA: Bayi perempuan berusia 15 bulan yang pulang bersama ibu bapanya selepas melawat saudara mereka di Jakarta menjadi mangsa paling muda terbunuh dalam nahas pesawat Lion Air yang terhempas di Laut Jawa pada Isnin lalu.

Kyara Putra antara mangsa yang dipercayai mati dalam nahas berkenaan bersama bapanya Rizal Gilang Sanusi Putra dan ibunya, Wita Seriani yang kedua-dua mereka berusia 26 tahun.

Adik Gilang, Gerian Sanusi Putra menceritakan kejadian sedih menimpa keluarga mereka kepada wartawan ketika menunggu perkembangan nahas berkenaan di lapangan terbang Jakarta.

“Saya keliru dan tidak berapa faham apa sebenarnya yang berlaku,” katanya kepada The Telegraph.

“Ibu saya meninggal dunia dua bulan lalu dan kini abang saya yang menjadi tulang belakang keluarga pula hilang,” katanya.

Pihak berkuasa Indonesia masih mencari bangkai pesawat berkenaan dan mayat kebanyakan mangsa, tetapi tidak menjangkakan ada yang terselamat.

Gerian, 24, berkata, dia berada di rumahnya berhampiran Pangkal Pinang sebelum mendengar berita mengenai pesawat malang berkenaan.

Pada mulanya, Gerian cuba menenangkan diri dengan menyangka pasangan berkenaan menaiki penerbangan tengah hari kerana Wita memberitahunya pada malam itu dia mahu membeli-belah di Jakarta.

Bagaimanapun, apabila dia menerima senarai nama penumpang di WhatsApp, Gerian melihat nama abang dan kakak iparnya.

Gerian yang hanya membawa telefon terus bergegas menaiki penerbangan pertama ke Jakarta dan sejak itu dia menunggu berita mengenai nasib ahli keluarganya itu.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 9:35am
d