utama

Ibu tunggal, lelaki mati ditetak [METROTV]

Oleh Mary Victoria Dass

IBU tunggal berusia 51 tahun dan rakannya, lelaki berusia 59 tahun ditemui mati dengan kesan kelar dan tetakan di tingkat tiga Blok 11, Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Johor Bahru, hari ini.

Mangsa, K Kamala, dan S Silvaraja ditemui jam 9 pagi oleh anak perempuan Kamala yang baru pulang dari tempat kerjanya di Singapura.

Difahamkan, Kamala bekerja sebagai pekerja pembersihan dan tinggal di flet berkenaan bersama anak perempuannya berusia 31 tahun.

Sementara, Silvaraja tinggal menumpang di rumah dua beranak itu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kejadian dipercayai berlaku pada tengah malam tadi.

“Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah. Wanita itu terbaring di bilik tidur, manakala lelaki berkenaan di bahagian ruang tamu.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa memiliki kesan tetakan di kepala dan lelaki berkenaan mempunyai kesan kelar di leher.

“Suspek dipercayai menggunakan senjata tajam seperti parang untuk mencederakan mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati jiran mangsa terdengar bunyi bising kira-kira 10 minit, namun tidak mengesyaki apa-apa.

Katanya, ia berikutan jiran terbabit mendapati pintu rumah mangsa dalam keadaan tutup.

“Siasatan juga mendapati sejumlah wang tunai dan barang kemas milik Kamala juga dilaporkan hilang,” katanya.

Mohd Kamarudin, polis menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti motif pembunuhan termasuk kemungkinan ada unsur samun, dendam atau masalah hutang.

Katanya, pihaknya mengesyaki sekurang-kurangnya dua atau lebih daripada dua suspek terbabit dalam kes berkenaan.

“Belum ada tangkapan dilakukan dan kami sedang menjejak maklumat termasuk sama ada terdapat kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

“Kami mengesyaki bahawa suspek adalah kenalan mangsa memandangkan pintu besi utama serta rumah mangsa tidak berkunci sebaliknya hanya pintu papan berkunci.

“Kami mendapati serbuk kunyit juga ditabur di merata tempat dipercayai bagi mengelakkan polis menjejaki kumpulan suspek," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 3:51pm
d