utama

Zamani tak angkat kaki...

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENGURUS Zamani, Aalan Ahmad menjawab segala teka-teka apabila mengesahkan artisnya bersedia meneruskan perjuangan dalam konsert minggu keenam, Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang akan berlangsung Ahad ini.

Bagaimanapun, Aalan, 45, selaku individu yang bertanggungjawab menguruskan penyertaan Zamani dalam program popular ini mengakui, Zamani masih mendapatkan rawatan berterusan daripada doktor agar masalah kesihatan dan sakit tekak dialaminya segera sembuh.

“Dia akan meneruskan saingan seperti biasa. Buat masa ini dia belum mampu menyanyi tapi untuk bercakap memang tiada masalah.

“Semalam saya bawa dia berjumpa doktor untuk ambil suntikan dan hari ini akan ulang sekali lagi. Proses ini akan diteruskan lagi pada Jumaat ini.

“Zamani hanya akan terbabit sepenuhnya untuk GV pada Sabtu dan Ahad dan saya percaya dia mampu pulih nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Zamani, 47, mengejutkan peminat apabila gagal menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta pada Konsert Minggu Kelima GV, minggu lalu kerana menghadapi masalah sakit tekak yang serius.

Bagaimanapun dia bernasib baik kerana memperoleh imuniti daripada Datuk Aliff Syukri selaku penaja utama GV musim ini dan berpeluang meneruskan persembahan pada Ahad nanti.

Pada 31 Oktober lalu Zamani memuat naik pemohonan maaf dan ucapan terima kasih menerusi laman Instagramnya.

"Maaf kepada semua kerana tak dapat menyampaikan lagu ini pada malam konsert kelima. Terima kasih pada semua atas sokongan padu yang diberikan pada malam itu. @abgadeksuperfans_official.

"Terima kasih tak terhingga pada @aliffsyukriterlajaklaris diatas pemberian imuniti dan juga pada juri-juri @tokram_ramlims, ibu kathy dan @emyliadac juga pada @jihanmuse @nabilzira,".

Sementara itu, Aalan turut meminta segelintir pihak agar tidak menganggu emosi Zamani bagi memberikan ruang buat artisnya fokus terhadap persembahan yang akan dibuat.

“Dia akan menyanyikan lagu Nidji yang berjudul Hapus Aku. Pihak produksi seboleh mungkin akan membantunya agar dia selesa ketika beraksi di atas pentas.

“Apapun kita sama-sama mendoakan semoga Zamani cepat sembuh agar dia dapat memberikan persembahan terbaiknya buat peminat,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 4:20pm
d