utama

Kena pujuk buat radioterapi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SUAMI penyanyi Elyana iaitu Khairul Anuar Hussin mengakui perlu memujuk isterinya untuk meneruskan rawatan radioterapi selepas tidak melakukan rawatan itu selama beberapa hari.

Khairul ketika dihubungi berkata, Elyana, 31, atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal mengadu sakit dan loya selain berasa lemah semangat sejak menjalani rawatan itu, minggu lalu.

"Setakat hari ini Elyana baru buat empat kali rawatan. Dia ada enam kali lagi. Selepas dibenar keluar hospital Jumaat lepas, dua hari dia tak buat.

"Kemudian, dia sambung semula Isnin dan 'stop' lagi dua hari. Petang tadi baru dia buat lagi. Setiap kali selepas rawatan dia mengadu sakit dan loya. Malah, dia juga berasa 'down' dengan komen orang di laman sosial.

"Setiap hari saya pujuk untuk teruskan rawatan ini. Doktor juga akan menghubungi dan minta saya pujuk supaya dia datang juga buat rawatan. Elyana kena habiskan juga 10 sesi rawatan ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Khairul, sepanjang rawatan itu Elyana terpaksa menggunakan tongkat bagi memudahkan pergerakan.

"Alhamdulillah, keadaan Elyana sekarang ada sikit perubahan. Cuma, dia masih gunakan tongkat untuk berjalan sebab masih sakit.

"Memandangkan kanser dihidapi sudah merebak ke bahagian saraf, jadi rawatan itu memang fokus pada bahagian pinggang. Ia adalah tempat penting, jika tidak Elyana boleh lumpuh.

"Saya berharap, selepas rawatan ini dia boleh berjalan seperti biasa sebelum menjalani rawatan lain seperti disarankan doktor," katanya.

Khairul berkata, buat masa sekarang Elyana mengambil pendekatan untuk menutup sementara akaun Instagram (IG) dan menjauhkan diri daripada telefon bimbit.

"Saya tahu dia tutup IG, tapi saya tidak mahu bertanya. Tindakan itu sekurang-kurangnya menghindarkan dirinya daripada 'gangguan' pengguna laman sosial. Dia juga sudah jarang pegang telefon bimbit," katanya.

Harian Metro sebelum ini melapokan, Elyana yang menghidap kanser kelenjar tahap empat sejak tujuh tahun lalu sudah merebak ke saraf tunjang.

Disebabkan itu, Elyana perlu menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 kali.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 6:20pm
d