utama

'Dia cakap dia takkan datang...'

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

“SAYA tak tahu kenapa dia tidak hadir. Apabila kami hubungi dia, dia cakap dia takkan datang,” kata penyanyi Deja Moss.

Dia berkata demikian selepas sesi sulh atau perbincangan antaranya dan

bekas suami, Azfendy Azzuddin, berhubung tuntutan nafkah tertunggak berjumlah RM800,000, hari ini, tidak dapat diadakan.

Ia selepas Azfendy, 39, tidak hadir ke sesi berkenaan.

Menurut Deja, atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Mos, 45, dia tidak mengetahui punca sebenar ketidakhadiran bekas suaminya itu.

Katanya, dia hanya dimaklumkan mengenai perkara itu selepas pihaknya membuat panggilan telefon kepada Azfendy.

“Saya failkan permohonan tuntutan nafkah tertunggak ini kerana hak saya sebagai seorang isteri.

“Sepatutnya dia bagi (nafkah) tapi sepanjang perkahwinan, tidak begitu,” katanya ketika ditemui ditemui di di luar Pejabat Sulh Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, peguam syarie, Halimatunsa’diah Abu Ahmad yang mewakili Deja.

Ditanya adakah bersedia untuk menempuh satu tempoh perbicaraan kes yang panjang, Deja berkata, dia bersedia dan berserah kepada Allah.

Sementara itu, Halimatunsa’diah berkata, pihaknya yang mewakili Deja selaku plaintif sudah menghantar notis kepada Azfendy, 39, (defendan) pada 24 Oktober lalu.

“Selepas ini, kami akan menghantar surat saman supaya defendan hadir pada prosiding seterusnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pada 27 November ini,” katanya

Proses sulh adalah majlis perbincangan bersama antara pihak yang terbabit dalam sesuatu pertikaian, membabitkan satu atau lebih tuntutan dengan dikendalikan oleh pegawai sulh.

Pasangan itu bernikah pada 30 Ogos 2008 dan bercerai pada 24 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Sepanjang perkahwinan, mereka tidak dikurniakan anak.

Berita berkaitan

'Doakan yang baik-baik..' [METROTV]

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 7:35pm
d