utama

Johan jalin cinta di ladang...

Oleh Najiy Jefri

PELAKON, Johan As’ari mengakui berkawan rapat dengan seorang wanita pengusaha ladang ternak lembu.

Johan berkata, dia mula mengenali wanita terbabit sejak enam bulan lalu, bagaimanapun enggan terburu-buru untuk menjalin hubungan cinta.

“Kami baru saja berkenalan dan belum melangkah ke fasa yang lebih serius. Kalau ada berita baik, saya akan kongsikan nanti.

“Sengaja saya undang dia untuk menghadiri majlis hiburan ini supaya dia faham situasi dan cara saya bekerja. Sebelum ini, saya sempat meninjau bidang kerjayanya dan mengakui, kerjayanya itu sangat unik,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Tujuh di Mutiara Damansara.

Menurut Johan, meskipun menjalin hubungan jarak jauh memandangkan wanita itu menetap di utara tanah air dia mengaku tiada masalah kerana mereka memegang prinsip saling mempercayai antara satu sama lain.

“Di usia 31 tahun ini saya mahu hubungan yang dibina ini bertahan lama. Banyak yang saya belajar dari pengalaman lalu.

“Setakat ini hubungan kami berjalan dengan baik. Dia tahu karier saya dan apa yang saya muat naik di media sosial termasuk gambar yang saya suka.

“Apabila sudah saling mempercayai, semua urusan menjadi lebih mudah,” katanya.

Menerusi filem bergenre seram arahan Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin yang akan menemui penonton di pawagam bermula 8 November ini, Johan memegang watak sebagai Sam.

Pelakon lain yang turut membintangi Tujuh termasuk Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Siti Saleha, Cristina Suzanne, DeeDee Nash dan Marsha Milan.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 3:32pm
d