utama

Laksa kak ribut

Oleh Zuhainy Zulkiffli

GEORGETOWN: Kedai laksa berhampiran pantai di Jalan Teluk Bahang di sini, mungkin antara premis yang kerap terjejas akibat ribut, namun siapa sangka bencana itu mengundang rezeki kepada pengusahanya.

Kedai Laksa Kak Ribut bukan saja terkenal dengan keenakan hidangan laksanya malah keunikan nama itu menjadi sebutan ramai.

Gelaran itu diberi berikutan kedai terbabit sering rosak dipukul ribut dan angin kencang menjadikannya dikenali.

Pengusahanya, Noorkapilah Eddy Syardi, 35, berkata, walaupun terdedah kepada bencana alam itu, tidak pernah pelanggan tercedera ketika berada di kedai makan atau menjamu selera.

“Tahun lalu saja 10 kali kedai saya dipukul ribut dan angin kencang waktu malam hingga merosakkan struktur kedai dan menu kami diingati kerana kejadian itu.

“Namun saya bersyukur kedai saya makin dikenali dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya yang tinggal di Batu Feringgi.

Laksa Power atau Laksa Kak Ribut itu menjadi pilihan pengunjung berikutan kuah pekat menggunakan isi ikan selayang dan dimakan bersama taburan bunga kantan, potongan limau, telur rebus, potongan cili dan daun kesum.

Difahamkan, 15 kilogram (kg) isi ikan setiap hari digunakan untuk menghasilkan kuah dan laksa itu dijual RM4 semangkuk bagi saiz sederhana serta RM5 saiz besar.

Noorkapilah berkata, berikutan kedai makannya di lokasi tumpuan pelancong (Tropical Spice Garden), Laksa Kak Ribut menjadi hidangan pilihan pelancong antarabangsa yang kebanyakan dari Timur Tengah, Thailand, Jepun dan Indonesia.

Biasanya dia menerangkan bahan digunakan dalam hidangan itu sebelum mengambil pesanan kerana bimbang ada dalam kalangan mereka yang alahan terhadap ikan atau makanan laut.

Katanya, Laksa Kak Ribut itu bukan laksa Pulau Pinang atau laksa Kedah, tetapi lebih kepada memenuhi selera pelanggan dan turut disediakan otak udang dan potongan nanas jika diminta.

“Di sinilah kalau nak lihat mat salih atau pak arab makan laksa,” katanya yang mengusahakan perniagaan bersama suami, Mohamad Wazir Hurairi, 38, dan bapa, Eddy Syardi Hassan, 61.

Kedai makan itu menjual makanan bergoreng serta rojak buah dan dibuka jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 7:40am
d