utama

Peragawati OKU

Oleh Redzuan Muharam

KUALA LUMPUR: “Saya mahu mengubah tanggapan segelintir masyarakat yang selama ini menganggap hanya individu normal mampu bergelar model sedangkan orang kurang upaya (OKU) juga berhak diberikan peluang sama,” kata Bernard Benzamin Nathan, 21, yang menjadi pengasas agensi peragaan OKU, Don Management.

Bernard yang mempunyai penyakit Spinal Muscular Athropy (SMA) atau kelemahan otot tahap tiga tidak berseorangan menguruskan agensi itu sebaliknya dibantu dua rakan berstatus OKU, Nadeera K Vasu, 26, (Osteogenesis Imperfecta atau tulang rapuh tahap tiga) dan Miza Marsya Roslan, 20, (SMA tahap dua) serta kakaknya, Brenda Berneadette Benzamin Nathan, 22.

Menariknya Don Management menjadi satu-satunya agensi peragaan di negara ini yang ditubuhkan khusus untuk OKU yang mahu bergelar peragawan dan peragawati.

Bernard berkata, Don Management ditubuhkan sejak Julai lalu susulan hasratnya untuk melihat komuniti OKU mengetengahkan bakat dan menimba pengalaman dalam bidang peragaan.

Menurutnya, seramai 17 OKU daripada pelbagai kategori dan latar belakang bernaung di bawah agensi berkenaan yang beroperasi secara atas talian menerusi laman web rasmi mereka dan media sosial.

“Lazimnya syarikat atau sesuatu jenama cenderung mengambil mereka yang mempunyai paras rupa kacak, cantik serta mempunyai ketinggian standard sebagai model.

“Mereka yang tidak menepati kriteria berkenaan termasuk OKU tiada peluang menceburi bidang peragaan walaupun mempunyai minat ke arah itu.

“Penubuhan agensi peragaan ini adalah permulaan yang baik untuk mereka menimba pengalaman, menonjolkan bakat selain mencari pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan harian, perubatan atau lain-lain lagi,” katanya yang kini menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di Universiti SEGi, Kota Damansara.

Bernard berkata, sehingga kini dua model yang bernaung di bawah agensinya sudah ditawarkan untuk memperagakan jenama beg tangan dan barangan kemas.

“Sebagai pengasas, besar harapan saya untuk menjalinkan kerjasama dengan lebih banyak syarikat atau jenama fesyen bagi mengukuhkan lagi agensi ini.

“Menerusinya kita dapat memberi peluang kepada OKU untuk ke depan, malah tidak mustahil kepercayaan diberi itu membolehkan wajah mereka menghiasi iklan di akhbar, majalah atau televisyen,” katanya.

Sementara itu, Miza Marsya berkata, dia setuju untuk bekerjasama dengan Bernard kerana yakin inisiatif berkenaan dapat membuka peluang kepada golongan yang senasib dengan dirinya.

Katanya, pengambilan OKU sebagai model juga salah satu langkah untuk menggilap bakat terpendam yang ada dalam diri mereka.

“Penerimaan masyarakat di luar negara terhadap OKU amat baik malah mereka terbuka memberi peluang kepada golongan seperti kami untuk menceburi pelbagai bidang termasuk peragaan.

“Bagaimanapun belum ada agensi peragaan di negara ini yang menyediakan platform untuk OKU dan disebabkan itu, kami sepakat menubuhkan agensi dengan harapan ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada mereka.

“Diharap usaha kami ini membuka mata ramai pihak sekali gus mengubah persepsi masyarakat kerana percayalah, komuniti OKU juga boleh pergi jauh selagi diberi peluang dan kepercayaan,” katanya yang bergerak menggunakan kerusi roda sejak berusia 11 tahun.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 10:53am
d