utama

'Pulangkan suami saya'

Oleh Muhamaad Razis Ismail

“Pulangkan suami saya,” kata Nur Azra Syazwani Abdullah, 25, isteri yang buntu selepas suaminya hilang dipercayai diculik di Jalan Pekeliling, Kota Bharu, sejak tahun lalu.

Dalam kejadian 11.15 malam, 5 Julai 2017 itu, mangsa Mohamad Aiman Zafri, 25, dilarikan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja bersama isterinya.

Nur Azra Syazwani Abdullah, 25, berkata, sejak daripada hari itu, dia tidak mengetahui nasib suaminya.

"Lebih menyedihkan anak lelaki berusia tiga tahun terlalu merindukan bapanya. Setiap kali anak bertanya, saya terpaksa memujuk anak mengatakan bapanya keluar bekerja," katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Menceritakan kejadian itu, sebelum kejadian dia dan suami dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Tembak, Kota Bharu.

"Ketika berhenti di kedai runcit sebuah kereta berhenti sebelum tiga lelaki keluar memaksa suami masuk ke kenderaan mereka.

"Saya kemudian menghubungi suami dan dimaklumkan dibawa ke Pekan Golok untuk berbincang suatu perkara dan saya terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu," katanya.

Menurutnya, keesokan hari seorang lelaki menggunakan nombor telefon Thailand meminta wang tebusan RM50,000 sambil terdengar suara jeritan suami seperti dipukul.

"Saya merayu dan lelaki itu bersetuju dikurangkan kepada RM20,000. Saya diarahkan meninggalkan wang di perhentian bas di Rantau Panjang dan perkara ini turut dimaklumkan kepada polis.

"Selepas berbuat demikian, kami diminta mengambil mangsa di Pengkalan Lubok, Rantau Panjang namun suami tiada di situ," katanya yang turut membayar RM2,000 ke dalam satu akaun bank seorang wanita pada 28 Julai 2017.

Katanya, selepas itu seorang lelaki menghubunginya lagi untuk mendapatkan baki wang tebusan sebanyak RM28,000 namun tiada bayaran dibuat kerana tidak berkemampuan.

"Sejak dari hari itu saya tidak mengetahui keadaan suami," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Wan Shariza Wan Zulkifli, 51, memohon anaknya itu dilepaskan untuk pulang ke pangkuan keluarga.

"Ini adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil selepas pelbagai usaha untuk mengesannya gagal.

"Sebagai ibu, saya merayu supaya anak saya dilepaskan demi isteri dan anaknya," katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 4:57pm
d