utama

Wanita drebar peribadi

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Noriza Sainal

Kuala Lumpur: “Ramai yang hairan macam mana saya boleh jadi pemandu peribadi kepada seorang majikan lelaki sedangkan saya perempuan. Saya sendiri pun tak sangka.

“Niat saya hanya mahu mencari wang untuk menyara keluarga. Tidak kira apa juga kerja, asalkan halal. Alhamdulillah, saya dan ayah bekerja dengan majikan sama sebagai pemandu peribadi,” kata Nor Samsiah Noh.

Ibu tunggal kepada dua anak berusia 43 tahun itu tidak janggal memulas stereng ke beberapa destinasi di luar ibu negara membawa majikannya setiap hari demi mencari sesuap nasi sejak lapan tahun lalu.

Katanya, biarpun dia perempuan, bukan masalah besar membawa majikan lelaki ke sana ke mari, apatah lagi dalam jarak jauh kerana persekitaran kerja yang menyeronokkan membuatkannya tidak berasa letih.

“Ditakdirkan, saya dan ayah menjadi pemandu kepada majikan sama. Ayah bawa isteri, manakala saya bawa suami. Alhamdulillah, ini mata pencarian kami selama ini.

“Pada mulanya, majikan terserempak ketika saya bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat. Dia tanya ayah apa pekerjaan saya. Bila dia tahu saya pemandu, terus dia tawarkan untuk menjadi pemandu peribadi keluarganya,” katanya.

Nor Samsiah yang juga ahli Srikandi Body Guard & Driver Community (BGDC) berkata, pada mulanya dia ditugaskan membawa anak perempuan majikannya di sekitar Kuala Lumpur selama beberapa bulan sebelum digantikan pemandu lain.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, dia ditugaskan menggantikan pemandu asal untuk ke Gua Musang dan terus ‘melekat’ hingga ke hari ini.

“Saya tidak tahu kenapa saya terpilih untuk bawa Datuk (majikan). Selain ayah, ada empat lagi pemandu yang bekerja dengan keluarga ini,” katanya.

Katanya, di peringkat awal, dia kekok untuk bersama dengan rakan pemandu yang biasanya ada tempat menunggu di setiap lokasi.

“Ada yang pandang saya semacam. Tapi itu mula-mula, bila dah lama, mereka boleh terima yang perempuan juga boleh memandu.

“Saya juga hantar kereta ke bengkel untuk diservis. Kadang-kadang saya bawa anak Datuk. Apa juga yang diarahkan, saya akan buat sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Noh Harun, 71, berkata, sebagai bapa dia seronok dapat bekerja bersama-sama, namun baginya, peraturan tetap perlu dipatuhi.

“Saya tak akan bagi muka jika dia buat salah. Di rumah dia anak saya, di tempat kerja kami sama-sama pemandu, tetapi saya lebih senior. Mana yang tak betul, saya tegur. Semua untuk memastikan tugas lancar,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 7:30am
d