utama

Ajal tiga sahabat

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

TIGA sekawan maut selepas Perodua Myvi dinaiki terbabas sebelum terhumban ke gaung sedalam lima meter (m) di Jalan Semambu, di Kuantan, hari ini.

Pada kejadian 6.30 pagi itu, mangsa, Akira Alinnatasya Mohd Jaafar, 16; Nur Alya Ariana Azman, 16, dan Mohd Rizal Zainuddin, 20.

Mereka yang juga penumpang kereta itu disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki kereta itu bersama dua lagi rakan.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kemaman, Terengganu.

“Setibanya di lokasi, kereta itu dipercayai terbabas ke bahu sebelah kiri jalan, sebelum termasuk ke dalam gaung

“Ia menyebabkan tiga penumpang kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian

,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, dua mangsa yang terselamat kini sedang dirawat di zon kuning Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Mereka mengalami kecederaan patah tangan, selain luka di beberapa anggota badan,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Perodua Myvi itu dipandu laju sebelum hilang kawalan.

Bagaimanapun, polis masih melakukan siasatan lanjut.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 12:43pm
d