utama

Terlalu awal menilai kejayaan

Oleh Rudy Imran Shamsudin

MELIHAT daripada jumlah tontonan di YouTube, ternyata lagu Roadblock Hatiku duet Floor 88 bersama Baby Shima diterima baik.

Klip video lagu itu yang dimuat naik pada 24 September lalu mencatat lebih enam juta tontonan, sekali gus menunjukkan penerimaan positif pendengar terhadap karya dihasilkan anggota kumpulan Floor 88 itu.

Pemain keyboard Floor 88, Eric Fuzi berkata, masih terlalu awal untuk menilai kejayaan single terbaru itu walaupun di YouTube ia sudah mencatat tontonan tinggi.

“Jika dilihat pada ketiga-tiga single yang sudah kami keluarkan termasuk Zalikha dan Aqilah, Zalikha masih dianggap paling sukses dan memberi impak besar kepada Floor 88.

“Respons diberikan pendengar terhadap Zalikha sewaktu pertama kali diperdengarkan 100 peratus positif. Apabila kami keluarkan Aqilah, mereka mula membanding-bandingkan.

“Itu adalah cerminan industri muzik apabila artis baru keluar dengan produk dan ia dianggap baik mereka akan diagung-agungkan. Apabila sudah diterima kemudian keluar lagu baru lagi, orang akan mula mencari kesalahan,” katanya.

Selain Eric, Floor 88 turut dianggotai Ayie (penyanyi), Zai Hamzah (gitar utama), Amir (gitar kedua), Akram (dram) dan Falique (bass).

Eric berkata, Roadblock Hatiku belum boleh dikatakan berjaya kerana ia belum dipromosikan secara keseluruhan termasuk dimainkan di stesen radio.

Ditanya adalah lagu berkenaan belum diterima kerana nama Baby Shima tidak cukup kuat untuk membantu Floor 88, Eric berkata, masih terlalu awal untuk dia menjelaskan perkara itu.

“Kami belum menjalani sebarang promosi bersama. Ini kerana Baby Shima terlalu sibuk di Indonesia sedangkan kami di sini.

“Namun, menerusi komen yang saya baca, ada peminat di Indonesia turut mendengar lagu ini dan menilai dari sudut itu sudah tentu saya anggap ia membantu kami untuk mengetengahkan karya terbaru Floor 88 untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Menuru Eric, selepas rakaman, mereka belum berkesempatan menyanyi lagu itu secara langsung bersama Baby Shima.

“Selagi tidak dapat menyanyi secara langsung bersama Baby Shima, kami tidak akan menyanyikan lagu ini. Floor 88 juga tidak akan menyanyikannya dengan penyanyi lain selain Baby Shima,” katanya.

Walaupun masih menganggap Roadblock Hatiku belum berjaya, Eric berkata, melihat kepada perkembangan di YouTube yang menunjukkan hampir 100,000 orang menontonnya setiap hari membuatkan anggota kumpulan Floor 88 lega.

“Ada sesetengah lagu jumlah tontonannya terhenti atau mula perlahan selepas memperoleh dua hingga tiga juta. Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku kepada Roadblock Hatiku. Bagi saya, ia sangat baik,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 7:00am
d