utama

Sakit tapi suka [METROTV]

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

KUALA LUMPUR: Tarian bharathanatyam merupakan tarian klasik India yang penuh tradisi membabitkan pergerakan tangan, kaki dan mata yang harus dipelajari untuk dipersembahkan secara gemilang.

Tarian ini berasal dari wilayah Tamil Nadu di bahagian selatan India dan cukup terkenal dalam kalangan masyarakat India, namun di Malaysia ramai penari klasik India popular berketurunan Melayu seperti Ramli Ibrahim dan Zamin Harun.

Mewarisi mereka ialah si cilik, Nurul Qaisara Khairul, 10, anak kedua pasangan Nurul Hidayah Hisham, 31, dan Khairul Kassim, 43.

Kanak-kanak itu yang berbakat menari dengan penuh perasaan menerusi penggunaan pancaindera mata baru dua tahun mempelajari tarian bharathanatyam di sekolah tarian, JS Fine Arts namun dia mampu melentur tubuh dengan gerakan sukar tarian klasik itu.

Nurul Qaisara berkata, keunikan tarian klasik India itu mendorongnya mempelajarinya secara mendalam.

Menurutnya, dia berminat dengan tarian tradisional seperti tarian Bali dan bharathanatyam berbanding tarian moden seperti ballet.

“Jika diberi peluang, saya mahu belajar semua jenis tarian. Saya suka tarian India kerana ia sangat unik.

“Cabaran serta kesakitan ketika belajar tarian ini mengubah daripada perasaan benci kepada minat terus mendalami bharatanatyam,” katanya.

Menurutnya, tarian berkenaan sangat mencabar kerana penari perlu ada stamina kuat.

“Saya perlu guna tenaga untuk hentak kaki, tangan dan kepala mengikut rentak lagu yang sangat laju, malah ada kalanya perlu melompat.

“Tetapi disebabkan saya suka benda mencabar, galakan daripada guru serta faktor tidak ramai orang Melayu menguasai tarian klasik India ini menguatkan lagi semangat saya terus belajar,” katanya.

Nurul Qaisara berkata, kemahiran mengungkapkan pancaindera mata mengikut jalan cerita yang ingin dipersembahkan juga penting bagi membangkitkan emosi penonton.

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 8:44am
d