utama

Hati-hati pilih produk

SENTIASA mementingkan penjagaan kulit, pelakon dan penyanyi Janna Nick menyeru semua wanita supaya rajin menitikberatkan perkara itu.

Janna, 23, menekankan kecantikan seseorang bukan terletak pada penggunaan mekap saja tetapi sebenarnya pada kulit.

Oleh itu, dia sendiri tidak pernah mengabaikan aspek berkenaan terutama apabila memegang status selebriti dan idola ramai.

“Sebenarnya bukan artis saja, tetapi setiap wanita perlu ada inisiatif untuk menjaga kecantikan. Kecantikan yang saya ingin tekankan adalah pada bahagian kulit.

“Tidak guna kita berhabisan untuk mekap jika kecantikan kulit tidak dijaga rapi. Kerjaya saya yang membuatkan terdedah dengan hujan, panas dan kepenatan, tetapi penjagaan kulit tidak saya abaikan,” katanya yang juga duta produk Colla Plus 3.

Janna berkata, penjagaan kulit tidak rumit asalkan kita lakukan rutin yang sepatutnya. Dia cuma melakukan langkah pembersihan kulit yang asas tetapi cukup berdisiplin.

“Selain itu, saya juga mengamalkan pengambilan kolagen

yang saya percayai dan ia sangat membantu. Keyakinan saya lebih bertambah dan tidak lagi runsing memikirkan kecantikan kulit,”

katanya.

Janna yang ditemui pada acara ramah mesra bersama Janna Nick anjuran Watsons di Putarajaya baru-baru ini berkata, pada awalnya dia juga skeptikal mengenai pelbagai produk kecantikan.

Katanya, dia bimbang mengambil produk yang akan meninggalkan kesan buruk pada jangka masa panjang.

“Siapa tidak bimbang dengan pelbagai kes membabitkan produk kecantikan yang mempunyai kesan buruk. Jujur, saya pun skeptikal juga tapi dalam hal ini pemilihan produk kena hati-hati.

“Saya memilih Colla Plus 3 memandangkan produk itu tidak mengandungi bahan pengawet. Sebelum bersetuju menjadi duta, saya sendiri sudah mencuba produk itu dan ternyata dalam masa tiga hari sudah nampak kesan pada kulit,” katanya.

Pada acara berkenaan, kehadiran Janna berjaya menarik lebih 500 peminat. Beberapa peminat bertuah turut berpeluang untuk mengambil foto bersamanya.

Teruja dengan sambutan itu, Janna berkata, dia seronok apabila diberikan peluang oleh Watsons untuk mendekati peminatnya.

“Ini pertama kali saya melakukan sesi ramah mesra dan sangat terharu dengan sambutan luar biasa itu. Melihat kesungguhan mereka hadir demi saya memang satu perasaan hebat yang tak terungkap.

“Saya berharap akan ada lagi susulan peluang sebegini agar membuka peluang untuk berjumpa dengan lebih ramai peminat,” katanya.

Berlangsung kira-kira 45 minit, acara itu turut dihadiri kakitangan Watsons serta wakil pengeluar produk Collab Plus 3 dari Herbalceutical (M) Sdn Bhd.

Hadir sama, Pengerusi Herbalceutical Wong Chee Herng dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dennis Wong.

Selain melayan peminat, Janna turut memberikan tip penjagaan kulitnya dan berkongsi kebaikan produk berkenaan. -Georgie Joseph

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 5:30am
d