utama

Berlapang dada dengan kritikan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KETIKA video video lagu Pendusta Cinta nyanyian Wani dikecam segelintir pihak, ia sebenarnya melonjakkan populariti lagu itu.

Malah, video muzik yang dilancarkan sejak tiga bulan lalu itu sudah mencecah tontonan lebih 10 juta sekali gus meletakkan ia antara lagu pilihan pendengar di semua platform muzik.

Wani, 21, atau nama sebenarnya Nur Syazwani Selamat berkata, kejayaan diraih lagu ciptaan DJ Fuzz, Hez Hazmi, W.A.R.I.S dan dirinya itu jauh lebih hebat daripada lagu sebelum ini iaitu Alhamdulillah duet bersama Juzzthin.

Bagi Wani, dia hanya ingin menonjolkan kelainan dan menunjukkan sisi lain dalam dirinya sebagai penyanyi.

“Lagu ini mengetengahkan eleman muzik padang pasir. Disebabkan itu, saya cuba tonjolkan kelainan dengan menari. Mungkin disebabkan itu, jumlah tontonan meningkat.

“Namun, ramai persoalkan tindakan saya disebabkan pernah terbabit dalam program Gema Gegar Vaganza (GGV). Sejak itu, ramai labelkan saya penyanyi nasyid tetapi sebenarnya tidak.

“Saya tetap mempertahankan tindakan menari kerana ia tidak keterlaluan pun. Kena tengok video muzik ini dulu baru boleh menilai atau nak jatuhkan hukum,” katanya.

Namun, Wani tidak mahu melatah sebaliknya menerima setiap teguran dan kritikan dengan berlapang dada.

Pada masa sama, Wani menjadikan setiap komen yang diterima sebagai pendorong untuknya terus memajukan diri.

“Diakui sepanjang lima tahun berada dalam industri muzik, masih ada yang belum kenal saya. Dalam erti kata lain belum popular jika mahu dibandingkan dengan penyanyi baru lain.

“Mungkin saya ada kekurangan dari segi vokal dan belum dapat lagu yang betul-betul kuat untuk menarik minat pencinta muzik tempatan. Saya perasan, kalau lagu itu orang suka memang nama cepat naik.

“Seperti lagu Pendusta Cinta, walaupun sudah tular tapi belum sampai tahap menjadi kegilaan. Bagaimanapun, saya tidak pernah putus asa dan percaya rezeki akan tiba jua,” katanya.

TUKAR NAMA

Kerap kali disangka Wany Hasrita atau Wani Kayrie, Wani nekad untuk menukar nama pentasnya kepada Wani Syaz tidak lama lagi.

“Insya-Allah selepas ini jika keluar single baru, saya akan pakai nama Wani Syaz iaitu mewakili nama sebenar saya. Mungkin ia lebih mudah orang ingat.

“Pada masa sama, orang tidak lagi perlu tertanya-tanya Wani yang mana satu. Jika sebut saja nama saya, orang akan terus ingat,” katanya.

Namun, Wani sedikit pun tidak berkecil hati jika masih ada pihak yang tersalah panggil namanya dengan penyanyi lain.

“Ini perkara biasa berlaku. Saya okey dan tak ada masalah pun malah jauh sekali nak berkecil hati. Macam saya katakan tadi, mungkin mereka keliru atau memang belum mengenali saya.

“Cuma, dalam perkara ini, saya kasihan dengan penyanyi lain apabila saya dapat nama daripada nama mereka. Harapnya, selepas secara rasmi guna nama Wani Syaz nanti, tidak timbul lagi masalah sama,” katanya.

Berkongsi mengenai muzik yang dibawa, Wani berkata, dia ingin menjadi penyanyi ‘versatile’ yang boleh melantunkan semua jenis lagu.

“Kalau ikutkan, muzik saya lebih kepada ‘world music’. Namun, saya nak juga cuba lagu genre lain seperti tradisional dan balada. Bagi saya, tidak salah kerana dapat menonjolkan sisi lain.

“Mungkin menerusi percubaan itu, orang akan suka dan inginkan saya kekal dengan genre muzik sebegitu. Kata orang,

belum cuba belum tahu,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 6:00am
d