utama

Semangat srikandi Lombok

Oleh Suraya Roslan

KUALA LUMPUR: Meskipun kediaman sendiri belum dibaik pulih sekumpulan kaum hawa di Dusun Sansambik, Desa Ganggelang, Kecamatan Lombok Utara, Lombok Indonesia, turun padang untuk bergotong-royong membina semula musolla di penempatan itu.

Dalam kejadian gempa bumi Julai lalu, Musolla Al-Muhajirin, rosak teruk hingga menyukarkan penduduk untuk beribadat.

Video suasana gotong-royong membabitkan sekumpulan wanita itu bersama penduduk lain dan sukarelawan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), menarik minat netizen selepas tular di media sosial.

Timbalan Presiden Muslim Care Mohd Johari Ismail berkata, video berkenaan dirakam ketika pihaknya menganjurkan misi Bantuan Kecemasan Gempa Bumi Lombok 4.0 selama empat hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu.

Mohd Johari berkata, sukarelawan berasa amat terharu dengan semangat penduduk di penempatan itu termasuk wanita yang bersemangat untuk membina semula musolla berkenaan.

“Akibat gempa musolla berkenaan rosak teruk. Namun penduduk tetap menunaikan solat berjemaah hanya beralaskan tikar saja. Malah ketika itu musolla berkenaan hanya berlantaikan tanah.

“Hasil sumbangan orang ramai, kami menyerahkan bantuan berjumlah RM562 untuk membiayai kos membina lantai musolla menggunakan simen.

“Berkat kerjasama semua pihak lantai musolla berkenaan siap dalam masa dua hari saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Muslim Care turut menyerahkan sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM28,000 kepada jawatankuasa Musolla at’ Taubah, Lendang untuk membiayai kos baik pulih rumah ibadat itu yang turut mengalami kerosakan serius akibat gempa.

“Alhamdulillah terima kasih atas sumbangan rakyat Malaysia yang menyalurkan dana ke akaun kami kemudian diagihkan kepada saudara kita di Lombok.

“Sumbangan orang ramai itu kami manfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan ummah lain bagi meneruskan dakwah,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 8:57am
d