utama

Kamu di mana isteri ku?

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SUAMI buntu apabila isterinya hilang sejak lapan hari lalu selepas meninggalkan rumah mereka di Kampung Padang, Kuantan.

Mahdi Osman, 25, berkata, dia menerima maklumat kehilangan isterinya Siti Nur Afifah Zahidah Mohd Rahim, 21, pada 31 Oktober lalu oleh ibunya ketika dia sedang bekerja.

Katanya, ibunya memaklumkan isterinya meninggalkan rumah pada 1.30 tengah hari selepas meninggalkan dua anak mereka di rumah jiran.

“Saya dimaklumkan isteri saya keluar menaiki Grab ke bandar Kuantan sebelum kali terakhir dia dilihat di mesin pengeluaran automatik (ATM) selepas membuat pengeluaran wang.

“Kami sekeluarga cuba menghubungi telefon bimbitnya dan berusaha mencari di sekitar daerah ini tapi masih belum berjumpa. Saya bimbang mengenai keselamatannya kerana sudah lebih seminggu dia hilang,” katanya.

Mahdi berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kuantan sehari selepas kehilangan isterinya pada 1 November lalu.

Dia turut menolak kemungkinan isterinya diculik kerana tiada sebarang panggilan diterimanya bagi membayar wang tebusan.

Justeru, dia berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai isterinya supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 1:33pm
d