utama

Jel dua bulan 'sumbat' budak [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

LELAKI yang videonya tular kerana memasukkan anak saudara lelakinya ke dalam mesin basuh di dobi layan diri di Bukit Sentosa dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru, hari ini, atas pertuduhan melakukan perbuatan itu, bulan lalu.

Hakim Azmil Muntapha Abas menjatuhkan hukuman itu terhadap jurujual Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah dalam sebutan kes itu, hari ini.

Mahkamah memerintahkan Muhammad Irwan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan, 3 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memasukkan Shah Raiqal Shahril Sharizal, 3, ke dalam mesin basuh di mana perbuatan itu dilakukan secara tergopoh-gopoh hingga membahayakan keselamatan kanak-kanak itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kedai Dobi Laundrybar di Jalan Orkid 1G/2 Sek BS1 Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 12.30 tengah malam, 2 Oktober lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berita berkaitan:

  • Suspek 'sumbat' budak ditahan
  • Gurau tak bertempat [METROTV]
  • Disiarkan pada: November 9, 2018 @ 12:26pm
    d