utama

Santesh nyanyi dangdut

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

LAGU Amalina berjaya diterima dengan baik jutaan peminat dan melekat di hati mereka. Bahkan daripada orang dewasa sehingga kanak-kanak, semuanya boleh menghafal melodi ciptaan Harry Khalifah dan lirik Room None ini.

Melihatkan pada kejayaan ini, terdetik di hati Harry dan Room None untuk memanjangkan lagi kisah Amalina dan kali ini nama Mymuna pula menjadi pilihan.

“Amalina adalah lagu untuk kekasih dan bakal isteri. Mymuna pula nama anak yang dilahirkan Amalina selepas berkahwin dengan pasangannya.

“Amalina tampil dengan genre pop balada, manakala Mymuna pula berentak dangdut,” kata Santesh yang hadir ke Balai Berita dengan ditemani Harry Khalifah, baru-baru ini.

Menurutnya, Mymuna sudah dipromosikan secara tidak langsung di Facebook dan dia gembira apabila ramai yang memberikan respons positif.

“Memang agak teruja apabila peminat menghantar mesej di Facebook mengakui sukakan lagu ini dan tak sabar menunggunya. Ikut perancangan Padu Records, sesuatu lagu kena ada jarak masa dua bulan promosi sebelum menghasilkan lagu seterusnya.

“Mymuna mungkin dikeluarkan Januari atau Februari tahun depan. Kontrak saya dengan Padu Records hanya setahun dan dalam tempoh ini saya boleh tampil dengan beberapa lagu tapi syaratnya lagu itu kena sedap serta perlu fokus buat promosi,” katanya.

Dalam pada itu, Harry berkata, walaupun Mymuna kesinambungan daripada Amalina, melodinya berbeza. Kelainan turut ditampilkan dalam muziknya dengan memasukkan elemen etnik seperti gendang dan tabla.

“Memang rezeki Santesh dapat menyanyikan lagu ini. Amalina sebenarnya dicipta bagi dinyanyikan anak lelaki saya, Mizan, 13.

“Amalina adalah rakan kelas sebelah anak saya. Apabila tiba hari rakaman, anak saya tak dapat buat kerana pulang ke rumah neneknya.

“Hari yang sama juga, Santesh menyanyikan lagu Khalifah iaitu Assalamualaikum Ustazah dan ‘tag’ saya di Instagram dan saya terus berminat,” katanya.

Harry mengibaratkan Santesh seorang penyanyi yang unik dan tidak mengambil masa lama untuk menghubunginya serta terus memberikan lagu Amalina.

“Dia terus rakam lagu itu serta-merta di studio di rumahnya dan hantar kembali kepada saya. Memang dia amat berbakat.

“Syarikat saya, Padu Records ada Santesh, Asal Usul dan beberapa bakat lain. Namun buat masa ini fokus hanya pada Santesh. Saya tak nak kata dia anak emas kerana semua artis dianggap emas buat saya, tapi Santesh memang mendatangkan rezeki kepada syarikat. Dia datang ke Padu Records berjumpa kami dan ia satu penghargaan. Lagu yang dicipta juga satu penghargaan buatnya,” katanya.

Harry yang juga pemain gitar kumpulan Khalifah berkata, dia masih aktif dengan kumpulan itu dan dalam proses merakamkan album terbaru.

“Saya komposer untuk album Khalifah. Setakat ini kami sudah menyiapkan empat lagu. Tinggal lagi enam lagu dan insya-Allah kami akan keluarkan album penuh tahun depan.

“Album masih dapat sentuhan kami sendiri iaitu saya dan Yabang. Konsepnya masih sama dan kami tak kisah dikata berkonsep kampung.

“Saya sebenarnya berterima kasih kepada anggota Khalifah kerana bagi ruang untuk berjalan. Mereka tak pernah merungut walaupun saya sibuk buat lagu untuk artis lain,” katanya.

Selain lagu Mymuna untuk Santesh, Harry juga sibuk menyiapkan lagu untuk Daniel Lawak Solo yang berjudul Siti Bilang Cuti.

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 5:30am
d