utama

Imelda Marcos dijatuhkan hukuman penjara

Oleh Reuters

MANILA: Mahkamah antirasuah Filipina mengarahkan bekas wanita pertama negara itu, Imelda Marcos ditahan selepas memutuskan beliau bersalah terhadap tujuh tuduhan rasuah ketika pemerintahan suaminya, bekas Presiden Ferdinand Marcos.

Imelda, 89, yang terkenal dengan koleksi ribuan kasut, barang kemas dan lukisan, menghadapi puluhan tuduhan rasuah sejak Marcos digulingkan pada 1986.

Mahkamah mengarahkan Imelda, kini Ahli Kongres, menjalani hukuman penjara antara enam hingga 11 tahun bagi setiap kesalahan melakukan tujuh pemindahan wang berjumlah $200 juta ke akaun bank di Switzerland ketika beliau menjadi Gabenor Manila.

Imelda atau wakilnya tidak hadir ketika Mahkamah Sandiganbayan menjatuhkan hukuman itu semalam.

Menurut pendakwa raya, Imelda boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Agung atau memohon ikat jamin.

Menurut peraturan mahkamah, Imeda mempunyai masa 15 hari untuk memfailkan rayuan dan Mahkamah Sandiganbayan perlu membuat keputusan dalam tempoh 30 hari atau terus ke Mahkamah Agung.

Marcos memerintah Filipina selama dua dekad, termasuk melaksanakan perintah darurat pada 1972 yang menyebabkan ramai penentangnya dipenjara, dibunuh atau hilang.

Marcos yang meninggal dunia pada 1989 ketika hidup dalam buangan, dituduh menyalah guna wang negara berjumlah lebih AS$10 bilion.

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 6:30am
d