utama

8 saat selesai teka-teki rubik

Oleh Garret Dawum

KUALA LUMPUR: Satu persatu bongkah plastik berwarna-warni dicapainya dan susunan warna yang bercampur-aduk itu tidak pernah membuatkannya gusar.

Sesekali dia mengerut dahi memikirkan cara untuk mengembalikan kiub rubik itu kepada susunan asal.

Cuma memerlukan masa di bawah lapan saat, Muhammad Hariz Azizan, 22, berjaya menjadikan enam warna kiub rubik tersusun dengan tepat dan sama.

Kepantasannya memutar dan memusingkan kiub rubik membuatkan dia antara jaguh rubik yang disegani di Malaysia.

Pelajar jurusan Automasi Industri Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu berkata, minatnya terhadap kiub rubik mula timbul apabila ibunya menghadiahkannya sebuah kiub rubik ketika berusia 12 tahun.

“Pada mulanya, saya hanya melihat rakan di sekolah bermain kiub rubik dan saya terpegun dengan cara mereka menyusun semula rubik itu.

“Saya menganggap cabaran menyusun kiub rubik itu memerlukan ketelitian dan kesempurnaan,” katanya yang kini memegang dua pengiktirafan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) iaitu Penyelesaian Kiub Rubik 3x3 Terpantas (Individu) dan Penyelesaian Kiub Rubik 3x3, 4x4, 5x5 Terpantas (Berkumpulan) bersama Leow Yi Jun dan Lim Hung.

Muhammad Hariz berkata, dia sangat pantang ternampak kiub rubik dan sentiasa tergerak untuk membuat putaran kiub yang dilihatnya sehinggalah selesai keenam-enam warna bongkah itu disusun.

“Sebab itu, saya berpendapat permainan kiub rubik ini dapat merangsang kecenderungan mental, mendorong tahap fokus dan menggalakkan seseorang itu tekun berusaha untuk menyempurnakannya.

“Malah, apabila ia dicuba sekali, kita pasti akan sentiasa dahagakan cabaran dan mencari jalan penyelesaian baru.

“Rubik satu teka-teki yang menyeronokkan dan direka untuk mencabar minda serta menawan imaginasi pemain dengan mekanisme yang tersendiri,” katanya.

Katanya, untuk bermain permainan ini, kemahiran logik akal dan kuasa ingatan amat penting.

“Secara tidak langsung, otak juga dilatih untuk terus sentiasa aktif. Jadi, tanggapan kebanyakan orang bahawa hanya mereka yang genius boleh menguasai permainan ini adalah salah. Sebenarnya sesiapa saja boleh mahir dalam permainan ini.

“Kecekapan jari-jemari juga antara elemen penting dalam permainan ini. Latihan saya banyak dilakukan dengan melayari Internet, menonton Youtube, mencari maklumat tentang latar belakang dan cara permainan itu berfungsi,” katanya.

Anak kesembilan daripada sepuluh adik beradik ini berkata, dia kini mempunyai lebih 120 koleksi kiub rubik pelbagai saiz dan bentuk.

“Ada juga yang sudah saya jual. Paling saya suka adalah apabila saya berjaya menyusun 1,000 kiub rubik untuk menghasilkan potret kumpulan pelawak, Sepahtu.

“Selain itu, saya juga menghasilkan potret bekas Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh yang dibeli dengan harga RM8,000 oleh sebuah universiti swasta untuk dijadikan cenderamata,” katanya.

Menurut Muhammad Hariz, permainan kiub rubik mampu melatih dirinya untuk terus berimaginasi terutama bagi subjek latihan kejuruteraan.

“Kiub rubik juga menanam minat saya dalam bidang pengajian yang sedang diikuti,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaan paling cemerlang Muhammad Hariz adalah menduduki tempat ke-14 dalam Kejohanan Kiub Rubik Dunia di Paris, Perancis pada 2017, sekali gus memperbaiki kedudukan ke-69 di kejohanan antarabangsa.

“Penyertaan saya dalam acara ini juga membawa saya ke beberapa negara seperti Indonesia, Singapura dan Taiwan,” katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 7:27am
d