utama

Drama kejar mengejar

Oleh Agensi

OHIO, Amerika Syarikat: Seorang budak lelaki berusia 11 tahun ditahan selepas drama kejar-mengejar dengan polis apabila dia melarikan kereta ibunya kerana berang Playstation dirampas.

Dalam kejadian itu, budak yang tidak didedahkan identitinya kerana masih bawah umur, melarikan kereta SUV ibunya selepas mereka bertengkar.

Seorang anggota polis yang ragu melihat kereta berkenaan di luar bangunan ditinggalkan pada jam 11 malam pergi menyiasat, menyebabkan budak itu memecut kenderaan berkenaan, lapor Fox News.

Lebih berbahaya apabila budak itu memadamkan lampu kenderaan yang dipandu dengan kelajuan 140 kilometer sejam, malah turut memasuki laluan bertentangan.

Evening Standard melaporkan, kejar-mengejar itu berakhir selepas kanak-kanak terbabit terbabas menyebabkan kenderaan dipandunya terbalik. Dia kini ditahan di Pusat Penahanan Juvana Daerah Cuyahoga.

Kejadian mengejutkan itu dirakam kamera papan semuka kenderaan polis.

Jacaranda FM melaporkan, bagi kejadian sebelum ini, kanak-kanak terbabit dibebaskan kerana mahkamah menganggapnya tidak layak dibicarakan. Difahamkan, dia mempunyai kecelaruan defisit perhatian dan hiperaktif.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 7:15am
d