utama

Berangan ke pentas AJL

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SESUAI dengan judul lagunya, Sulit, begitulah juga realiti dilalui penyanyi Aman Aziz dalam usaha memahat nama sepanjang empat tahun berada dalam industri muzik tanah air.

Meskipun sebelum ini pernah muncul dengan dua single iaitu Without You dan Layang Layang, nama Aman masih belum mekar dan meniti di bibir peminat.

Sepanjang tempoh itu juga, Aman, 25, atau nama sebenarnya Mohammad Razman Abdul Aziz mengakui pernah berasa putus asa dan hampir mengundurkan diri.

Namun, pertaruhannya menerusi lagu Sulit hasil ciptaan Asfan Shah dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya akhirnya menyuntik semangatnya untuk terus bangkit dan melangkah ke depan.

Biarpun lagu itu diterima ramai selepas empat bulan dilancarkan awal tahun ini, Aman yang juga bekas peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) 2014 tetap bersyukur dan bangga kerana lagu terbabit menjadi penanda aras untuknya muncul dengan lagu lebih berkualiti.

“Lagu ini dilancarkan Ogos tahun lalu. Alhamdulillah, selepas dimainkan di stesen radio dan dipilih menjadi lagu tema 10 drama, lagu ini terus mendapat sambutan hangat. Saya tidak menjangka sama sekali sebab dua lagu sebelum ini gagal mendapat sambutan baik.

“Dek lagu ini juga, orang mula kenal saya. Walaupun ada yang memanggil saya dengan nama lagu, saya okey saja. Bagi saya, ia satu pencapaian apabila dikenali menerusi lagu.

“Sedikit sebanyak ia membuktikan peminat mula memberi perhatian kepada saya. Saya berasa sangat dihargai. Malah, sokongan diberikan itu saya anggap satu pencapaian sepanjang empat tahun ini,” katanya.

Tidak hanya diterima baik, Sulit juga melakar kejayaan tersendiri apabila layak ke peringkat separuh akhir program Muzik Muzik 33.

Malah, jauh di sudut hati Aman berharap lagu itu dapat mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Pertandingan ini antara yang menjadi impian setiap penyanyi. Dapat ke peringkat separuh akhir pun sudah memadai, namun kalau ke AJL ia bonus. Secara peribadi, saya berangan-angan untuk ke pentas berprestij itu. Berangan tak perlu bayar, jadi tak ada salahnya.

“Dalam pada teruja saya juga berasa takut. Bukan saja saya, malah peminat juga berharap lagu ini boleh pergi jauh. Jadi, saya takut kecewa.

“Sebagai persediaan, sebelum bertanding saya mengikuti kelas vokal Syafiq Erwin. Selebihnya, saya hanya berserah. Saya cuba buat yang terbaik,” katanya.

CARI LAGU BARU

Pencapaian diraih lagu Sulit sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada Aman bagi mendapatkan material untuk single baru.

Menurut Aman, selepas setahun dia belum dapat lagu yang boleh menyaingi Sulit.

“Bukan mudah cari single baru. Sulit sudah berada di kedudukan tersendiri, jadi saya kena cari yang lebih bagus lagi. Dalam proses ini, saya berterima kasih kepada pihak pengurusan yang banyak membantu.

“Kalau boleh saya nak lagu daripada Asfan juga tetapi dia belum ada ilham baru. Saya tak nak terlalu mendesak, jadi saya beri masa. Saya juga ingin mengekalkan genre muzik sama namun diberi sentuhan moden ala muzik Indonesia,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Aman bersyukur kerana rezekinya tidak putus bukan saja dalam bidang nyanyian, malah juga lakonan.

“Walaupun tahun ini bukan milik saya, tetapi saya dapat merasai nikmat itu. Malah, tempias populariti juga hadir secara perlahan-lahan.

“Meskipun kejayaan tidak seperti orang lain, saya tetap bersyukur. Saya percaya dengan rezeki Allah. Apa yang penting, saya akan terus berusaha dan berjuang.

“Saya sentiasa menjadikan Hael Husaini sebagai rujukan yang mana dia tak pernah patah semangat untuk berjaya dalam bidang ini.

Hasilnya, kita dapat tengok sekarang,” katanya.

Selain itu, Aman muncul dalam telefilem Syirik.

Aman berkata, menerusi lakonan dia dapat meningkatkan keyakinan dalam memajukan diri.

“Saya mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan sejak dua tahun lalu. Awalnya, saya bimbang lakonan nampak kaku dan tidak menjadi.

“Namun, saya jadikan ia proses pembelajaran dan tingkatkan keyakinan diri. Ternyata ia menjadi apabila berjumpa orang ramai, saya sudah boleh buang rasa malu.

“Kalau diberi pilihan, keutamaan saya sekarang adalah nyanyian. Cuma, setiap peluang yang datang saya akan ambil. Bagi saya, ia adalah rezeki. Kalau tak buat, nak dapat duit dari mana?” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 8:28am
d