utama

Punca kebakaran jadi misteri

Oleh Norizuan Shamsuddin

KUALA LUMPUR: “Api terbabit muncul secara tiba-tiba membakar pelbagai peralatan dalam rumah.

“Kejadian itu berlaku berulang kali dan pernah dalam sehari enam kali terjadi kebakaran di dalam rumah sehingga merisaukan kami sekeluarga,” kata Mazlan Hashim, 40, berhubung kejadian aneh yang berlaku di kediamannya di Kampung Masjid Baru, Asahan, Melaka.

Api yang muncul secara tiba-tiba dan membakar peralatan di dalam rumah didiami Mazlan bersama isteri, Salbiah Abdullah, 41, dan anak perempuan berusia 14 tahun berlaku secara berlarutan sejak hampir sebulan lalu.

Menurut Mazlan, kejadian pertama berlaku apabila rak pakaian di dalam bilik utama di rumahnya terbakar pada 18 Oktober lalu.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam apabila api terbabit muncul dan terus membakar rak pakaian. Ketika itu, saya tiada di rumah kerana bekerja dan mujurlah isteri bersama anak sempat memadamkan api terbabit daripada terus marak.

“Namun selang 30 minit selepas itu, api didapati muncul kembali di bilik bersebelahan membakar bucu tilam.

“Kemudian pada 19 Oktober pula, selepas saya selesai menunaikan solat Subuh, berlaku lagi kebakaran pada rak pakaian sama dan kejadian aneh terbabit terus berlarutan hampir setiap hari,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Operator kilang terbabit berkata, keluarganya sudah hampir tujuh tahun mendiami rumah berkenaan dan tidak pernah mengalami perkara terbabit sebelum ini.

Katanya, susulan kejadian itu, pelbagai kaedah dilakukan bagi menangani masalah terbabit termasuk mendapatkan bantuan pengamal perubatan Islam dan pelajar tahfiz untuk membacakan ayat suci al-Quran di rumahnya.

“Bagaimanapun, kejadian semakin kerap berlaku dengan terdapat enam kebakaran di dalam rumah, Jumaat lalu dan kejadian terbaru pada jam 4.45 petang tadi (semalam) membabitkan kebakaran langsir.

“Kami tidak tahu apa puncanya dan ada pengamal perubatan yang memaklumkan wujud gangguan makhluk halus atau jin yang dihantar untuk balas dendam, tetapi kami tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu kerana tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa.

“Susulan kejadian itu, kami mengalami kerugian lebih RM1,000 apabila pakaian, perhiasan rumah dan peralatan elektrik termasuk penghawa dingin terbakar akibat api muncul secara misteri,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 8:41am
d