utama

'Saya malu'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“SAYA bukan lupa lirik, tapi tak dengar muzik di ‘ear monitor’. Jadi, saya susah agak masa bila nak nyanyi,” jelas penyanyi Zamani mengenai persembahannya menerusi lagu Dekat Padamu pada separuh akhir Gegar Vaganza 5 (GV5), semalam.

Zamani, 47, atau namanya Zamani Ibrahim berkata, dia bagaimana pun tidak mahu menyalahkan tenaga produksi sebaliknya menganggap ia kesalahan diri sendiri.

Malah, Zamani mengakui tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan berbanding konsert minggu kelima.

“Semalam kesihatan saya okey. Suara pun okey. Apa yang terjadi memang kesilapan. Selama menyanyi berpuluh tahun tak pernah jadi macam ni.

“Saya bukan lupa lirik, tetapi tak dengar muzik hingga sukar nak agak bila dan bahagian mana nak masuk. Tapi saya cuba juga habiskan. Bagaimanapun, saya tak nak cakap ia masalah teknikal.

“Saya anggap perkara sudah nak jadi dan letakkan kesalahan ini pada diri sendiri. Selebihnya saya tak tahu nak cakap apa,” katanya kepada Harian Metro.

Persembahan pertama Zamani itu mendapat pelbagai maklum balas dalam kalangan pengguna laman sosial hingga ada beranggapan dia akan tersingkir.

Apatah lagi, pada konsert minggu kelima Zamani diselamatkan daripada penyingkiran selepas mengalami masalah kesihatan teruk hingga menyukarkannya menyanyi.

Menurut Zamani, kejadian itu membuatkan dirinya malu hingga terfikir untuk tidak meneruskan persembahan lagu kedua.

Zamani yang juga vokalis kumpulan Slam berkata, dia menghormati setiap komen dan kritikan penonton yang rata-rata menyifatkan dia tidak layak beraksi di pentas akhir program itu minggu ini.

“Tentu saja saya malu. Apa pun penjelasan saya, orang akan cakap ini alasan. Siapa yang masih tak boleh terima keputusan ini, terserah pada diri masing-masing. Cuma, gunakan saluran yang betul kalau nak bersuara.

“Kalau ikutkan, saya nak minta berhentikan muzik dan buat semula persembahan. Tetapi, tak boleh sebab ini pertandingan dan bukannya acara biasa.

“Mungkin Allah nak bantu saya, jadi teruskan juga. Malah, selepas lagu pertama saya rasa tak nak nyanyi lagi lagu kedua, namun, saya kena juga habiskan tanggungjawab ini,” katanya.

Zamani bagaimanapun menebus kesilapan persembahan pertama dengan memberikan nyanyian bertenaga menerusi lagu Di Matamu nyanyian asal Sufian Suhaimi.

Sementara itu, ketua juri, Datuk Ramli MS mempertahankan keputusan dibuat kerana Zamani bangkit pada persembahan kedua dan melayakkan dirinya mendapat markah tinggi.

“Sepanjang lima musim GV, saya tak pernah bagi markah tinggi dan Zamani peserta pertama yang dapat daripada saya. Saya mendengar nyanyian keduanya dan dia memang layak.

“Berbanding peserta lain, Zamani menyanyikan lagu itu seperti lagunya sendiri. Malah, ia menjadi persembahan terbaik Zamani sepanjang pembabitannya dalam program ini.

“Kalau nak persoalkan kenapa dia masuk akhir, kita ada tiga juri. Masing-masing beri markah,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 11:24am
d