utama

Mengaku mandikan, tukar pakaian Zara

Oleh Hasbi Sidek

SUSPEK yang disyaki mendera bayi perempuan berusia 11 bulan sehingga maut pada 9 November lalu, mendedahkan dia menguruskan mangsa pada pagi hari kejadian.

Bagaimanapun, lelaki yang juga suami kepada pengasuh bayi berkenaan sehingga kini enggan membuat pengakuan berhubung kejadian menyebabkan tempurung kepala mangsa pecah dan kemaluan serta dubur mangsa koyak.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, beberapa individu sudah dipanggil untuk mengambil keterangan termasuk ahli keluarga, majikan suspek dan semua individu yang mempunyai akses ke rumah pengasuh berkenaan.

“Hari ini, lelaki berkenaan mendedahkan dia memandikan dan menukar pakaian mangsa pada pagi hari kejadian berbanding sebelum ini dia tidak mahu mendedahkan apa-apa maklumat berhubung kejadian.

“Namun, dia masih tidak membuat pengakuan bertanggungjawab atas punca kematian bayi berkenaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan daripada semua sudut dengan mengambil keterangan semua pihak seperti ahli keluarga, majikan suspek dan individu yang mempunyai peluang untuk mendekati bayi berkenaan.

Katanya, tempoh reman terhadap lelaki berkenaan akan tamat esok dan bakal disambung lagi selain kes akan ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan berbanding sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2002.

“Tempoh reman isterinya yang juga pengasuh mangsa tamat hari ini dan kami memohon untuk melanjutkan tempoh reman selain turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan bayi perempuan berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Muhammad Zainal atau mesra dipanggil Zara, meninggal dunia Jumaat lalu selepas dua hari dilaporkan tenat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.

Ahmad Dzaffir dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Serdang, yang menerima bayi berkenaan dalam keadaan tenat untuk rawatan pada 3.05 petang Rabu lalu.

Berita berkaitan:

  • 'Saya percaya dia sebab dia nampak baik'
  • 'Kenakan hukuman setimpal' [METROTV]
  • 'Tak sangka anak dijaga suami pengasuh'
  • Suami pengasuh direman 5 hari
  • 'Hukuman berat perlu dikenakan'
  • Pecah tempurung kepala bayi
  • Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 10:40pm
    d