utama

Terbaiklah, Thaqif!

Oleh Amin Ridzuan Ishak

SELEPAS hampir dua bulan, kanak-kanak berusia 12 tahun dari FELDA Jengka 15, Maran, Muhammad Thaqif Syahiran Jamzuri berjaya menyiapkan permainan komputernya yang dinamakan Myfps (Malaysia First Person Shooter).

Terdahulu, kisah Muhammad Thaqif Syahiran menjadi tumpuan ramai termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikutan kemampuannya mencipta permainan komputer hampir setaraf dengan dibangunkan pencipta lain walaupun hanya bersekolah sehingga Tahun Lima.

Ibunya, Rafiah Adam, 44, berkata, permainan khas untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah itu berjaya disiapkan Muhammad Thaqif baru-baru ini, yang bersemangat menyiapkannya selepas mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk sumbangan komputer riba.

“Komputer riba berkenaan diberikan penyanyi rap, Caprice yang turut memberi kerusi khas. Sokongan ramai membuatkan Thaqif bersemangat dan berjaya menyiapkan permainan komputernya.

“Sekarang ini kami dalam proses untuk memasarkannya. kami tidak tahu caranya, sebab itu susah sedikit. Kami akan melakukannya secara berperingkat serta mendapatkan pandangan daripada pihak mempunyai pengetahuan berkaitan perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi NSTP di Kuantan, hari ini.

Oktober lalu, Harian Metro menyiarkan kisah Muhammad Thaqif Syahiran yang mencipta permainan komputer walaupun hanya bersekolah sehingga Tahun Lima kerana masalah kesihatan.

Anak sulung daripada dua beradik itu terpaksa berhenti persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi, Selangor, Mac tahun lalu kerana sering diserang histeria dipercayai akibat tekanan dan berpindah bersama Rafiah serta adiknya, Nur Aina Batrisya, 8, ke kampung halaman ibunya di FELDA Jengka 15, di sini untuk berubat.

Kisahnya yang membangunkan permainan itu juga menarik perhatian kerana dia hanya melakukannya menggunakan komputer di Pusat Internet Malaysia FELDA Jengka 15 yang spesifikasinya tidak sesuai bagi pembangunan permainan komputer.

Dalam pada itu, Rafiah berkata, keluarganya terharu dengan segala sokongan diberikan masyarakat terutama untuk memastikan potensi anaknya dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Menteri Belia dan Sukan turut memberi kata-kata semangat dan beritahu sekiranya Thaqif memerlukan bantuan pada masa depan, pihak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pun mahu memantau perkembangannya secara dekat,” katanya.

Sementara itu, Rafiah berkata, keluarganya juga sudah memutuskan untuk mendaftarkan Muhammad Thaqif Syahiran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga, Bangi pada tahun hadapan bagi membolehkan anaknya mendapatkan pendidikan formal.

“Ia untuk kebaikan Thaqif selepas mendapat nasihat pelbagai pihak, penting baginya mendapat pendidikan formal supaya boleh melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan pada masa sama fokus kepada minatnya dalam pembangunan permainan komputer.

“Kami akan berpindah semula ke Bangi untuk memudahkan urusannya, termasuk bagi rawatan Thaqif di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM),” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 5:30pm
d