utama

Terkejut dengan sokongan

Oleh Ardini Sophia Sina

KETIKA mata memandang ke arah kumpulan popular Korea Selatan seperti BTS, Exo, Twice, Blackpink dan Got7, KARD yang dianggotai dua wanita dan dua lelaki bangkit mencuri tumpuan.

Selepas dua tahun aktif, KARD tidak pernah menjangka mereka berjaya menawan hati peminat K-Pop di seluruh dunia.

Malah, menerusi undian peminat Malaysia di laman web My Music Taste, KARD yang dianggotai BM, J.Seph, Somin dan Jiwoo menduduki tempat kedua selepas BTS yang peminat mahu mengadakan persembahan di sini.

KARD ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, mereka terkejut dan terharu atas penerimaan serta sokongan peminat di sini.

BM berkata, ia penghormatan buat mereka apatah lagi kumpulan lain yang jauh lebih popular dan sudah lama bergelar penghibur.

“Kami baru tahu perkara ini dan ia sangat mengejutkan. Kami juga sangat terharu atas sokongan dan penerimaan peminat apatah lagi KARD menduduki tempat kedua selepas BTS.

“Kami tidak pernah tahu KARD ada ramai peminat di Malaysia. Malah, ketika tiba di lapangan terbang mereka sanggup berkumpul menyambut ketibaan kami,” katanya.

Melihat kepada sambutan positif, KARD berjanji akan kembali mengadakan sesi ramah mesra dan mengadakan konsert solo sebagai tanda penghargaan kepada peminat mereka di sini.

Memperjuangkan muzik seperti electropop, hip hop dan alternatif R&B, KARD tidak pernah menganggap kemunculan mereka saingan kepada kumpulan sedia ada.

Mereka hanya ada satu matlamat iaitu membina empayar KARD di seluruh dunia dengan menonjolkan kelebihan sebagai kumpulan gabungan wanita dan lelaki.

Mereka tidak menolak keunikan menggabungkan anggota lelaki dan wanita itulah yang membuatkan KARD terus terkenal dan meraih populariti seperti hari ini.

Bagaimanapun, KARD tidak pernah selesa dengan kejayaan itu.

“Kami menghormati semua kumpulan tidak kiralah semua anggotanya lelaki atau wanita. Kewujudan KARD dalam industri muzik bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana kumpulan lain.

“Kami hanya ingin membina empayar sendiri dan mengukuhkan nama kami tidak hanya di Korea Selatan tetapi di seluruh dunia. Kami ingin melihat lebih ramai dapat menerima muzik yang KARD perjuangkan.

“Mungkin juga gabungan KARD yang terdiri daripada wanita dan lelaki adalah antara sebab kami diminati. Bagaimanapun, kami tidak pernah selesa dengan situasi itu. Banyak lagi yang perlu kami lakukan untuk terus relevan,” katanya.

Pada 2016, KARD pertama kali tampil dengan lagu projek berjudul Oh Na Na diikuti dengan Don’t Recall dan Rumor.

Walaupun ia hanya sebuah projek, percaturan mereka untuk memperkenalkan KARD pada umum dianggap berjaya.

KARD sudah menghasilkan tiga album iaitu Hola Hola, You & Me dan Ride on the Wind. Mereka juga sibuk dengan konsert jelajah di beberapa negara.

Pada 30 November ini, KARD bakal terbabit dengan konsert amal di Indonesia diadakan khas untuk mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi.

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 6:02am
d