utama

Mark Adam sebak 'dijemput' ke Tanah Suci

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI dan pelakon Mark Adam mengakui sebak dan terharu apabila diberitahu permohonan untuk menunaikan ibadah umrah bersama isteri tercinta, Norazah Redzuan, 37, diluluskan.

Mark, 39, atau nama Islamnya Mark Adam Fikri Abdullah dijadual berangkat ke Tanah Suci Makkah pada 2 petang hari ini bersama pasangan selebriti Shuib dan Siti Sarah serta rombongan jemaah lain.

“Setiap umat Islam mengimpikan untuk ke Makkah. Sejujurnya, saya tidak menjangka diberikan rezeki bersama isteri untuk ke sana hari ini.

“Malah, saya yang berhijrah dari Filipina ke sini hampir 20 tahun lalu tidak menjangka diberikan peluang ini oleh Allah SWT. Ini yang dipanggil ketentuan.

“Diakui saya dan isteri berasa sebak dan terharu. Setiap hari kami berdoa supaya ibadah ini dipermudahkan Allah,” katanya kepada Harian Metro.

Mark berkata, dia memohon peminat mendoakan ibadah umrah yang bakal dilaksanakan dipermudahkan.

“Pegesahan mengerjakan umrah diterima sebulan lalu. Ini pertama kali saya dan isteri akan ke sana sepanjang 15 tahun berkahwin. Malah, ia juga umrah pertama buat kami berdua.

“Selepas dimaklumkan perkara itu, saya mulai belajar, baca buku dan menghadiri kursus. Malah, Shuib dan mutawif juga banyak ajar saya. Insya-Allah, di sana saya berhajat dan berniat untuk mempelajari lebih mendalam lagi ajaran Islam.

“Selain itu, saya juga ingin minta dan doa yang terbaik buat semua keluarga, keluarga mentua, rakan dan kebahagiaan perkahwinan kami. Saya juga memohon peminat doakan yang baik-baik untuk perjalanan ibadah kami,” katanya.

Menurut Mark, dia juga mahu berdoa sepuas hati semoga dikurniakan rezeki cahaya mata.

“Ini juga antara hajat dan doa saya. Saya dan isteri akan minta pada Allah supaya diberikan rezeki anak,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 10:12am
d