utama

Rampas wang, sita aset

Oleh Skuad Khas Harian Metro

KUALA LUMPUR: “Kami memang sedang menyiasat Ultra Kirana Sdn Berhad (UKSB) dan lapan kakitangan pengurusan tertinggi sudah dipanggil untuk diambil keterangan.”

Demikian kata Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Hishamuddin Hisham merujuk kepada laporan eksklusif Harian Metro semalam mengenai UKSB yang dikatakan mengaut keuntungan ‘atas angin sehingga RM198 juta sejak Mac 2016 sehingga September lalu.

UKSB adalah syarikat yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2016 bagi mengendalikan Sistem Visa Luar Negara (VLN) atas talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong China yang ingin datang ke Malaysia.

Hishamuddin berkata, selain itu pihaknya juga sudah merampas wang tunai ratusan ribu ringgit daripada beberapa individu selain menyita aset termasuk rumah.

Menurutnya, siasatan SPRM ke atas UKSB dilakukan sejak minggu keempat September lalu dan kini sudah memasuki fasa ketiga.

Beliau berkata, selain mengambil keterangan lapan kakitangan UKSB pihaknya turut merekodkan keterangan daripada 10 hingga 15 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) .

“Kita sudah merampas satu buku ‘faraid’ milik UKSB yang merekodkan pembayaran kepada pihak tertentu,” katanya.

Menurutnya, siasatan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009, Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK).

Mengulas lanjut mengenai kegagalan VLN diuruskan UKSB berperanan sebagai sistem saringan dan tapisan awal ke atas warga China sebagaimana dilaporkan akhbar ini semalam, Hishamuddin berkata perkara itu memang ada asasnya.

“Perkara ini sangat serius kerana membabitkan aspek keselamatan negara. Dakwaan aspek risiko keselamatan dijaga begitu rapi sebenarnya tak betul,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ada kadar tetap dibenarkan sebagai kutipan pada setiap pemohon.

“Sepatutnya kutipan RM100 tetapi pengendali berpakat dengan individu tertentu di China sebelum kenakan caj fi sehingga RM1,000.

“Pusat sehenti atau One Stop Center (OSC) yang diwujudkan di sini dan beberapa daerah lain termasuk Beijing itu akan menguruskan permohonan VLN ini. Jadi, pemohon yang mahu memohon eVISA akan ke OSC sebelum dikenakan caj melampau,” katanya.

Hishamuddin berkata, siasatan juga mendapati, UKSB melantik syarikat rakan di China sebelum membuka satu pejabat di Hong Kong.

“Duit kutipan hasil pengurusan visa itu dilarikan ke sana. Hanya 10 peratus sahaja dibawa pulang ke Malaysia. Di situ sahaja, kerajaan sudah kehilangan kadar kutipan cukai,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, kemudahan eNTRI untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari didapati tidak menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan atau tapisan awal, sebagaimana yang diuar-uarkan.

Sebaliknya, kemudahan itu dikesan sekadar menyalurkan wang secara mudah kepada UKSB yang diberi hak eksklusif oleh KDN untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang.

UKSB yang diberi akses penuh untuk mengeluarkan eNTRI dikatakan membolot semua hasil kutipan fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.

Malah, urusan permohonan eNTRI secara dalam talian dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit dan aspek keselamatan negara nyata diabaikan apabila individu yang disenarai hitam serta ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk ke negara ini.

Ketirisan itu terbongkar hasil maklumat yang disalurkan kepada Harian Metro oleh sumber boleh dipercayai dan wartawan akhbar ini berada di Guangzhou selama beberapa hari untuk memperoleh maklumat lebih terperinci.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 11:47am
d