utama

Alhamdulillah, jenazah Ariff ditemui

Oleh Rosli Ilham 

SELEPAS seminggu gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan, akhirnya jenazah Konstabel Wan Mohamad Ariff Wan Yahaya, 28, ditemui di Sungai Penyiram, Durian Mentangau, hari ini. 

Jenazah mangsa yang lengkap berpakaian secara tiba-tiba timbul di permukaan air pada 12.25 tengah hari kira-kira 400 meter dari tempat beliau dilaporkan terjatuh. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, gerakan mencari dan menyelamat yang dimulakan 8 pagi harsi ini membabitkan 64 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin dan penduduk kampung. 

Beliau berkata, selama seminggu operasi dilancarkan, pasukan mencari dan menyelamat menemui jalan buntu selepas pelbagai usaha dilakukan.

“Kami menjangkakan kemungkinan mayat mangsa tersangkut di pokok tumbang di dalam sungai terbabit, jadi hari ini kami mengambil keputusan untuk memotong semua pokok mati itu. 

“Selepas selesai memotong pokok ketiga itu, secara tiba-tiba timbul jenazah mangsa yang dikenal pasti sebagai anggota kami,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Baharudin berkata, pasukan mencari dan menyelamat turut menemui sepucuk pistol, peluru dan gari pada jenazah mangsa.

Beliau berkata, jenazah kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. 

Katanya, sebaik selesai bedah siasat nanti, jenazah mangsa akan diserahkan kepada keluarganya sebelum dibawa ke kampung asalnya di Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.

Dalam kejadian 8.30 malam Jumaat lalu, anggota polis terbabit dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam sungai bersama suspek ketika sedang mengejar suspek.

Mangsa yang bertugas di Balai Polis Paka ketika itu sedang melakukan aktiviti rondaan cegah jenayah dan terserempak dengan suspek yang menaiki kereta curi sebelum mengejarnya.

Mayat suspek yang berusia 39 tahun itu dijumpai pada 11.30 pagi Isnin lalu.

Berita berkaitan

'Dah jumpa mayat suspek pecah rumah'

'Saya nak cepat pergi ke tempat lemas'

'Abang berlutut mohon maaf'

'https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/11/394006/polis-suspek-dikhuatiri-lemas'

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 3:35pm
d