utama

'Saya minta maaf, tiada niat pun'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI remaja Ismail Izzani memohon maaf kepada peminat wanita yang kecewa selepas menyedari wajahnya dipotong oleh penyanyi itu sebelum dimuat naik di Instagram.

Luahan rasa peminat yang dikenali sebagai Ainul Najihah itu dikongsikan menerusi Instagram Story apatah lagi gambar asal adalah milik peminat berkenaan.

Ismail, 18, atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal Nazeri berkata, dia tidak menyangka tindakannya itu tular dan kecoh di laman sosial Twitter kerana niat asal adalah sekadar ingin bergurau dengan Pegawai Perhubungan Awam (PRO) syarikat pengurusannya.

“Saya ‘crop’ gambar itu sebab ia kelakar apabila PRO saya buat ‘photobomb’ tanpa saya sedar.

“Sepatutnya kami berdua saja, tetapi apabila saya tengok semula dan ‘zoom’ gambar berkenaan, baru perasan kewujudan PRO saya dalam gambar. Disebabkan itu, saya ‘crop’ dan nak fokus pada wajahnya.

“Saya dapat tahu perkara ini kecoh di Twitter. Saya nak minta maaf, tapi tak ada akaun Twitter. Jadi, saya cuba cari Instagram miliknya pula. Apa pun, saya mohon maaf dan tak ada niat pun nak buat wanita itu marah. Niat bergurau jadi lain pula,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, gambar itu dipadam tidak lama kemudian selepas dimuat naik kerana menimbulkan kekecohan dalam kalangan netizen.

Dalam perkembangan lain, Ismail yang ditemui selepas peringkat separuh akhir Muzik Muzik 33, semalam memaklumkan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang sudah bermula minggu ini selepas menangguhkannya tahun lalu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana perlu berdepan beberapa perkara membabitkan masalah kesihatan dan jadual kerja.

“Saya memang tak ambil SPM tahun ini. Saya hanya bercadang untuk ambil peperiksaan ditawarkan pihak universiti (swasta) bagi melayakkan saya menyambung pelajaran di tempat mereka.

“Buat masa ini, saya masih berbincang dengan keluarga mengenai perkara ini. Saya pun tunggu apa perancangan mereka. Sepatutnya, nak buat tahun ini selepas tak ambil SPM tahun lalu, tapi banyak pula perkara lain yang timbul.

“Antaranya tangguh belajar, masalah kesihatan membabitkan tonsil hingga perlu dibedah dan pelancaran single baru yang lambat. Jadi, tahun ini agak padat dengan banyak perkara,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 12:15pm
d