utama

Jejak langkah ayah dalam PASKAL [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“SAYA mahu ikut jejak langkah ayah bersama Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan mahu buktikan jika ayah boleh buat, saya juga boleh buat kerana dia adalah idola saya,” kata Laskar Kelas Dua (LK II) Muhamad Azam Zahran Ahmad Sazili, 20.

Dia antara 65 anggota pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu yang dianugerahkan Beret Ungu bagi melayakkan mereka bergelar komando.

Menurutnya, dia gembira cita-citanya menyertai PASKAL tercapai dan menyambung legasi bapanya, Leftenan Komander (B) Ahmad Sazili Abdul Talib, 47, yang juga veteran pasukan elit itu.

“Saya tertarik dengan pasukan elit TLDM ini sejak berusia 12 tahun selepas melihat cara ayah bekerja dan latihan pasukan ini.

“Saya juga bersyukur kerana berjaya dalam kursus ini dan meletakkan keselamatan negara sebagai sebagai nombor satu,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Kursus Asas Komando PASKAL Siri 65/18 di Pusat Latihan PASKAL, Pangkalan TLDM Lumut, di Lumut, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 65 penuntut Kursus Asas Komando PASKAL menerima penganugerahan Beret Unggu yang melayakkan mereka bergelar komando.Ia membabitkan empat pegawai dan 53 anggota lain-lain pangkat TLDM, seorang anggota Tentera Laut Bangladesh, seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan enam peserta dari Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM).

Sementara itu, Ahmad Sazili berkata, dia terharu anak kedua daripada enam beradik itu mengikut jejak langkahnya.

“Selepas tamat sekolah, Angah (Muhamad Azam Zahran) menyuarakan hasratnya mahu menyertai TLDM dan mengikuti kursus PASKAL.

“Pada mulanya saya agak berat hati tetapi tidak melarang, namun melihat kesungguhannya saya sanggup ‘melepaskan’ dia dengan rela hati serta memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi supaya dia lebih kuat.

“Hari ini saya sangat bersyukur dia mampu mengikuti dan mengharungi perit jerih latihan PASKAL sekali gus mencapai cita-citanya kerana sejak dari kecil dia sudah melihat saya berbaju celoreng pasukan elit ini yang akhirnya mendorong dia menyertai PASKAL,” katanya yang bersara pada 2014.

Semua penuntut berkenaan berjaya mengharungi pelbagai cabaran bermula 2 Julai sehingga 17 November membabitkan beberapa peringkat latihan iaitu fasa pemanasan, peringkat kem, peringkat hutan, peringkat paya, peringkat laut, fasa pelarian dan pelolosan serta ‘hell week’.

Pada majlis itu, Ahmad Kamarulzaman turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 21 veteran PASKAL yang berkhidmat di Stesen Luar Pantai TLDM atau lebih dikenali sebagai Gugusan Semarang Peninjau.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 6:28pm
d