utama

Kayla hadiah paling berharga

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Pasangan pelakon Zamarul Hisham dan Diana Rafar yang pernah diuji dengan kegagalan perkahwinan pada 2015 sebelum rujuk semula sebulan kemudian mengakui semakin bahagia sejak kehadiran cahaya mata kedua mereka, Kayla Reysha yang kini berusia setahun.

Diana, 36, atau nama sebenarnya Adiana Rafar berkata, dugaan itu terselit 1,001 hikmah buat mereka sekali gus mengajar dirinya banyak perkara terutama mengenai kehidupan berumah tangga.

Malah, Diana yang juga pelakon filem Susuk menganggap kehadiran Kayla adalah hadiah paling berharga buat dirinya dan Zamarul.

“Selepas dua tahun perkahwinan dilanda badai dan dugaan, saya disahkan hamil anak kedua. Ketika itu hanya Allah tahu perasaan gembira dan teruja saya. Ibaratnya, ia hadiah paling berharga.

“Selepas diuji, Allah datangkan rahmat dan rezeki lain pula. Diakui, kehadiran Kayla banyak mengajar dan mengubah hidup saya. Malah, saya dapat rasakan hubungan kekeluargaan kami jadi lebih kukuh dan rapat.

“Kalau sebelum ini saya boleh ‘enjoy’ tetapi sejak ada Kayla baru dapat rasa tugas suri rumah. Dalam erti kata lain, fokus saya sekarang lebih terhadap suami dan anak-anak. Paling penting, mereka adalah nyawa dan kekuatan saya,” katanya.

Diana berkongsi pengalaman hamil dan bersalin anak kedua jauh berbeza daripada anak pertama iaitu Kashfi Haiqal yang kini berusia lapan tahun.

Menurut Diana, sepanjang tempoh kehamilan anak kedua itu, dia berdepan pelbagai cabaran.

“Pengalaman hamil anak kedua tak sama dengan yang pertama apatah lagi jarak usia mereka tujuh tahun. Mengandungkan anak perempuan dugaannya besar. Ketika itu terdetik dalam hati, beginikah rasa mengandung. Malah, ketika bersalin saya berasa sangat sakit.

“Berbanding anak pertama, segalanya dipermudahkan Allah hingga saya boleh bersenang lenang. Namun, ketika mengandungkan Kayla badan saya terlalu lemah dan asyik baring saja,” katanya.

Ditanya sama ada dia dan suami merancang tambah anak, Diana menyerahkan perkara itu kepada rezeki dan ketentuan Allah.

“Saya tak berani nak cakap. Saya dan suami ikut saja aturan ditetapkan Allah. Kalau ada rezeki lagi, saya tak tolak,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Diana berkata dia masih bersikap memilih apatah lagi selepas melahirkan anak kedua.

Kali terakhir Diana muncul di kaca TV menerusi telefilem lakonan bersama Faizal Hussein dan Gambit Saifullah iaitu tahun lalu ketika baru disahkan hamil anak kedua.

“Alhamdulillah, walaupun kurang berlakon Allah berikan rezeki di tempat lain. Saya bersyukur apabila dipilih menjadi duta beberapa produk seperti kolam renang, kipas heli, rumput palsu dan papan lantai.

“Sekurang-kurangnya saya ada sumber pendapatan lain. Jadi, tidaklah saya berasa tertekan sebab tak ada pekerjaan. Malah, saya juga tak perlu nak risau soal glamor dan populariti lagi. Aturan Allah sangat bagus untuk kehidupan saya dan keluarga selama ini,” katanya.

Bagaimanapun, Diana menafikan cakap-cakap segelintir pihak yang menganggap dirinya suka menunjuk kemewahan selepas berpindah ke kediaman baharu sejak sebulan lalu.

“Tak pernah sama sekali niat nak menunjuk. Disebabkan ini tanggungjawab sebagai duta, saya kena promosikan produk berkenaan di laman Instagram. Saya bukan duduk saja tetapi ada tugas yang perlu dilaksanakan.

“Malah, suami juga selalu cakap dia takut apa yang saya buat ini timbul riak dan memberikan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat. Alhamdulillah, suami sangat memahami,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 6:02am
d