utama

'Saya dihina ditawar bayaran RM1,500' [METROTV]

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Berdasarkan pembabitannya yang sudah menjangkau empat dekad dalam arena seni, A Jalil A Hamid bukanlah calang-calang orang.

Jalil, pelaku seni berpengalaman luas sementelah mengasah bakat sejak zaman remaja sehingga kini menjangkau usia emas.

Seni teater, tarian, nyanyian dan lakonan sama ada watak serius, sedih dan komedi semua berjaya dizahirkan dengan baik.

Tiada apa yang dapat dipertikai mengenai kualiti persembahannya, malah dia tidak pernah menghampakan harapan penerbit dan pengarah.

Bagaimanapun anak jati Johor ini mengakui terkilan apabila bakatnya dipandang sebelah mata segelintir penerbit yang menawarkan bayaran rendah bahkan sikap tidak peka golongan itu seakan satu penghinaan.

Minggu ini, Kafe Ahad menyelak satu persatu isi hati bintang hebat ini yang nyata ‘bengkak’ dengan 1,001 rasa.

Kepada wartawan Ridzuan Abdul Rahman, penggiat seni berusia 62 tahun ini meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Bagaimana karier seni anda bermula?

Semuanya bermula di tempat kelahiran saya iaitu di FELDA Cahaya Baru, Masai, Johor. Perkampungan ini jauh dari Johor Bahru. Suasana ketika itu dengan 400 rumah tanpa apa-apa aktiviti memang membosankan. Sejak usia belasan tahun saya terbabit dalam persatuan belia dan aktif main bola serta takraw. Saya juga minat aktiviti seni, tetapi tak nampak peluang di situ. Di sekolah saya ada belajar seni lakon. Daripada situ terdetik di hati kenapa tak wujudkan aktiviti seni di FELDA.

Maknanya anda bertanggungjawab memeriahkan FELDA dengan aktiviti seni?

Ketika itu ada satu kumpulan bangsawan yang bergerak masuk ke seluruh FELDA. Pelakonnya ketika itu Ahmad Yatim, Allahyarham Zami Ismail, Ar Badul dan ramai lagi. Kami ambil peluang belajar dengan mereka dan daripada situ saya tubuhkan kumpulan sendiri serta wujudkan panggung di kampung. Ada kumpulan tarian kesenian asli dan kugiran. Saya turut menubuhkan kumpulan teater Tanjung Puteri di Johor ketika bekerja dengan Lembaga Pelabuhan Johor.

Apa yang anda lakukan bagi memeriahkan aktiviti seni ketika itu?

Saya antara yang menggerakkan penubuhan Taman Seni Budaya (TSB) di Johor. Itulah satu-satunya modul TSB dan kemudian diikuti negeri lain. Daripada situ saya dapat peluang mengikuti pelbagai kursus dan belajar.

Saya tak dapat sambung belajar ke peringkat universiti, tetapi diberi peluang mengikuti kursus bidang kreatif lakonan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1980. Saya dan rakan-rakan kemudian masuk pertandingan teater dan menyanyi yang mana akhirnya saya diberi peluang bertugas di Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1984.

Bilakah anda terbabit dalam arus perdana industri seni tempatan?

Saya mulakan langkah dengan tinggalkan Johor pada usia 30 tahun dan sejak itu bakat saya berkembang. Kompleks Budaya Negara (KBN) panggil saya untuk sertai mereka. Saya ingat lagi ketika itu ada usaha untuk wujudkan Panggung Negara dan saya jumpa Allahyarham Pak Ngah dan ramai lagi penggiat seni.

Sejak bila pula anda terbabit dalam karya yang ditayangkan di kaca televisyen?

TV3 buka peluang kepada saya untuk jadi pelakon utama telefilem Harimau Harimau bersama Allahyarham Mahmud Jun. Saya bawa watak serius dalam cerita ini. Ikutkan saya boleh hidupkan apa saja watak. Saya pernah melakonkan watak pak lawak dalam program Pentas Rakyat di Johor. Pendek kata, saya boleh berlawak, menyanyi, menari, main kuda kepang, barongan dan macam-macam lagi. Bagi saya tiada perbezaan kerana saya menghayati watak. Saya tidak boleh letakkan diri sebagai pelaku seni yang serius atau komedi.

Bagaimana anda boleh terpilih menerajui telefilem itu?

Pengarah Adman Salleh berkenan selepas melihat saya berlakon teater Dewan Bahasa dan Pustaka di Panggung Bandaraya.

Dia nampak sesuatu dalam diri saya dan syukur saya dapat watak itu. Kemudian, Hafsham pula tawarkan saya berlakon dalam sitkom 2+1. Tak sangka pada 1992 saya dapat anugerah Pelakon Komedi Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Bagai mimpi tiba-tiba saya jadi pelawak pula. Berikutan kemenangan itu, komposer Azmeer tawarkan saya buat album dan antara lagu popular saya ialah Ayam, Makan serta Mata.

Dengan pengalaman dan ilmu yang anda ada, kenapa masih ada pihak tidak menghargai bakat anda?

Kadang-kadang saya tak nampak adanya penghargaan di Malaysia. Saya pun tak faham kenapa.

Adakah mereka tidak tahu kualiti lakonan saya atau sejarah pembabitan saya dalam bidang seni? Ada dua tiga produksi yang buat begitu.

Mulanya saya diamkan saja, tetapi apabila bertemu beberapa rakan yang mengeluh perkara serupa, saya tidak boleh pendamkan lagi. Sampai bila akan jadi begini. Kalau sudah jadi veteran, maknanya sudah habislah. Tak payah banyak cerita dan berapa orang bagi terima saja?

Adakah ia satu penghinaan buat anak seni khususnya bintang veteran seperti anda?

Memang satu penghinaan kerana saya ditawarkan bayaran RM1,500 bagi watak utama membabitkan 12 babak daripada 16 babak untuk sebuah drama.

Saya pernah tunjuk gambar anugerah yang saya terima kepada mereka dan bertanya adakah anugerah itu ada nilai atau tidak.

Mereka beri alasan tiada bajet. Namun, apabila tanya bayaran pelakon muda mereka boleh pula bayar tinggi. Ini cara yang salah dan perlu diperbetulkan. Seperkara lagi, trend filem atau drama sekarang hanya melebihkan orang muda dan tiada ruang untuk artis veteran. Sedangkan dalam dunia realiti, kita ada macam-macam golongan.

Dengan senario menyedihkan itu, adakah anda masih berminat meneruskan kerjaya seni?

Industri filem dan drama di negara kita terlalu kecil. Sekiranya nak jadi kaya memang payah. Ia berbeza dengan penyanyi yang dapat bayaran besar untuk setiap persembahan. Pelakon tiada royalti walaupun filem meletup dan drama diulang tayang berkali-kali.

Sebagai contoh, baru-baru ini pelakon mengeluh penerbit berikan bonus yang sedikit walaupun karya lakonan mereka berjaya meraih kutipan tinggi.

Saya tiada sumber pendapatan lain sekiranya tidak terima tawaran berlakon. Bayangkan pelakon yang langsung tiada nama, bagaimana mereka mahu hidup? Walaupun industri pandang saya macam barang lusuh, saya tetap kena berlakon demi kelangsungan hidup. Saya perlu makan, minum dan bayar cukai.

Apa lagi cara yang sesuai untuk bantu anak seni?

Sebelum ini ada persatuan mahu mewujudkan gred pelakon, tetapi adakah ia dilaksanakan? Ada juga produksi mendakwa harga diberikan stesen televisyen sangat rendah. Saya minta agar royalti untuk drama yang kerap dimainkan di kaca TV diwujudkan.

Sudah kerap kali drama saya diulang tayang tetapi mana hasilnya? Saya juga minta agar presiden mana-mana persatuan wujudkan koperasi khas untuk bantu artis.

Mungkin boleh wujudkan kedai berkonsep pasar mini dan pulangannya boleh digunakan untuk bantu ahli. Sudah setahun saya tidak berlakon.

Dan, saya kena luahkan apa yang terbuku di hati. Tak pasti pula adakah saya disenarai hitam atau sebaliknya. Ramai anak seni mengalami nasib sama seperti saya tetapi tidak berani meluahkan rasa terkilan mereka.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 8:05am
d