utama

'Bukan cari musuh'

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

KUALA LUMPUR: Buka laluan untuk golongan muda menabur bakti kepada agama dan manusia sejagat.

Itu visi Pengerusi Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSSA) Mustapa Mansor yang aktif membantu mangsa perang, bencana alam dan penghapusan etnik di seluruh dunia sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, dia mengasaskan MaSSSA untuk menjadi platform buat golongan muda menceburkan diri dalam bidang kemanusiaan.

“Kami di MaSSSA sentiasa membantu saudara kita di Palestin, Rohingya, Syria dan lain-lain negara di dunia kerana cintakan keamanan.

“Misi kita hanyalah mahu menghantar bantuan kemanusiaan berupa makanan, ubat-ubatan dan pakaian.

“Kami bukan mencari musuh sebaliknya hanya berpegang kepada prinsip untuk membantu mereka yang memerlukan. Tenaga muda (sukarelawan) amat diperlukan, sambutan dari mereka kini sangat sedikit,” katanya.

Mustapa berkata, setiap misi mempunyai risiko tersendiri.

“Mereka yang ikhlas berjuang atas tiket kemanusiaan, insya-Allah, urusannya dipermudahkan. MaSSSA sangat perlukan tenaga muda. Saya percaya badan bukan kerajaan (NGO) lain juga memerlukannya,” katanya.

Ditanya perancangan terkini MaSSSA, Mustapa berkata, pihaknya kini memberi tumpuan untuk membantu etnik Rohingya yang berlindung di Malaysia.

“Kami juga mendukung komitmen kerajaan untuk menghantar pulang etnik Rohingya ke kampung halaman. Kami dan NGO lain sedang bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakannya,” katanya.

Untuk rekod, Mustapa salah seorang daripada sukarelawan Mavi Marmara pada 2010 yang ditahan tentera Isreal hampir 48 jam ketika cuba memecahkan sekatan dari laut oleh kerajaan haram itu.

Pada 2013, Mustapa ditahan Daish hampir seminggu sebelum dibebaskan ketika misi membantu rakyat Syria.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 8:00am
d