utama

'Jika langgar kita tamatkan'

Oleh Skuad Khas Harian Metro

KUALA LUMPUR: “Kita sedang teliti jika ada perlanggaran syarat oleh syarikat itu (Ultra Kirana Sdn Bhd) berkemungkinan besar kita akan tamatkan perjanjian , ” kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, ketika ini kementeriannya sedang menyiasat dan meneliti semula perjanjian yang dimeterai bersama syarikat berkenaan yang diberi hak untuk mengendalikan permohonan Visa Luar Negara (VLN) bagi kemasukan warga China ke Malaysia.

“Jika didapati tidak sesuai kerana ada perkara tertentu sudah berlaku, kita akan mengambil tindakan untuk menamatkan kontrak yang diberikan , ” katanya ketika ditemui di lobi parlimen semalam.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat, meminta KDN memberi penjelasan berhubung tapisan keselamatan visa seperti yang dilaporkan akhbar ini.

Laporan eksklusif secara bersiri disiarkan Harian Metro sejak 14 Februari lalu mengenai kelemahan sistem dalam talian permohonan Visa Luar Negara (VLN) yang dikendalikan syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk kemasukan warga China ke Malaysia.

Kelemahan sistem dalam talian permohonan VLN terbongkar hasil maklumat yang disalurkan kepada Skuad Khas Harian Metro oleh sumber boleh dipercayai dan wartawan akhbar ini turut berada di Guangzhou, China selama beberapa hari untuk memperoleh maklumat lebih terperinci.

Hasil maklumat diperoleh, didapati kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari tidak menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan awal, sebagaimana diuar -uarkan.

Ia menunjukkan begitu mudah borang kemasukan atau tapisan awal itu diberi tanpa mengambil kira foto, alamat dan tujuan lawatan. Kemudahan itu dikesan sekadar memberi keuntungan mudah kepada UKSB yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang.

Syarikat itu diberi akses penuh untuk mengeluarkan eNTRI dikatakan membolot semua hasil kutipan fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 8:52am
d