utama

Lima penjenayah tersungkur... [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek dan Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menembak mati lima penjenayah yang menyamun sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, jam 4.30 petang hari ini.

Dalam kejadian itu, empat penjenayah ditembak mati di lokasi kejadian, manakala seorang lagi suspek ditembak dalam kenderaan yang dikejar oleh anggota polis.

Seorang suspek ditembak dalam kenderaan yang dikejar oleh anggota polis kira-kira 400 meter dari lokasi terbabit, manakala seorang lagi berjaya diberkas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil maklumat orang mengenai kehadiran suspek di lokasi kejadian yang dalam keadaan mencurigakan, pasukan dari Kontijen Selangor yang berada berhampiran lokasi bergegas ke pasar raya berkenaan.

“Empat suspek ditembak di pintu masuk pasar raya berkenaan. Mereka menggunakan dua pistol dan menembak ke arah polis menyebabkan pasukan kami terpaksa melepaskan tembakan balas bagi mempertahankan diri.

“Seorang daripada mereka melarikan diri menggunakan kereta Mercedes, namun sempat dikejar polis kira-kira 400 meter dan turut ditembak mati.

“Polis menemui semua barang kemas yang dirompak suspek dan merampas dua pistol, sebilah kapak dan sebilah parang serta dua kereta, Mercedes dan Perodua Myvi," katanya ketika sidang media di lokasi kejadian.

Beliau berkata, identiti kumpulan dan pembabitan kumpulan berkenaan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, seorang anggota polis cedera akibat terkena tembakan di bahagian kaki dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurutnya, anggota polis yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 6:15pm
d