utama

Pertama kali bertunang

Oleh Rudy Imran Shamsudin

MENGIKAT tali pertunangan mengikut adat menjadi tanda hati sudah dimiliki dan ia juga fasa apabila pasangan bersedia melangkah ke alam rumah tangga.

Pertunangan juga menjadi waktu tempoh bakal mempelai melakukan persiapan untuk majlis pernikahan dan persandingan.

Bagi aktres Nur Fasha Sandha Hassan, majlis pertunangannya dengan pelakon Aidil Aziz yang berlangsung secara tertutup petang Ahad lalu cukup mengujakan memandangkan inilah pertama kali dia bergelar tunangan orang.

Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfai, 5, dan Putri Raysha Jemyma, 4.

Sewaktu bernikah dengan Rizal Ashram, mereka tidak bertunang sebaliknya terus bernikah.

Katanya sewaktu dihubungi, majlis pertunangan itu dilakukan demi mengikut adat dan sebagai pasangan dia mahupun Aidil hanya mengikut kehendak keluarga.

“Memandangkan majlis pertunangan ini membabitkan keluarga kedua-dua pihak, jadi kami hanya menurut kehendak mereka yang mahukan ia diadakan secara kecil-kecilan dan membabitkan keluarga serta teman rapat saja,” katanya.

Kebanyakan mereka yang pernah bertunang sering berkongsi tempoh itu banyak cabaran dan dugaan. Apatah lagi pada waktu sama pasangan ada ketika tertekan dengan persediaan majlis pernikahan dan persandingan yang semakin hampir.

Membicarakan mengenai perkara itu, Fasha berkata seharusnya dalam tempoh pertunangan pasangan lebih positif dalam mengenal pasangan masing-masing.

“Sebelum ambil keputusan ini banyak perkara dipertimbangkan antaranya Aidil menyayangi kedua-dua anak saya dan menghormati keluarga saya.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Namun sebagai hamba-Nya kita boleh berdoa akan ikatan yang dibina diberikan limpahan kasih sayang dan segala perancangan berjalan lancar. Selepas diijab kabul, pastinya kita mahu ikatan itu kekal hingga ke syurga,” katanya.

Berkongsi mengenai perjalanan hubungannya dengan Aidil sehingga mereka membuat keputusan bertunang terlebih dulu kata Fasha, Aidil melamarnya pada 21 Jun lalu.

“Saya tidak terus bersetuju sebaliknya ambil masa untuk memikirkan perkara ini. Ia membabitkan diri saya sebagai seorang ibu tunggal yang mempunyai dua cahaya mata.

“Saya mengambil tempoh beberapa bulan untuk buat keputusan menerima Aidil menjadi sebahagian daripada hidup saya.

“Lepas Aidil melamar, saya ambil masa dua bulan untuk beritahu keluarga. Saya terkejut kerana keluarga saya merestui.

“Aidil terus memaklumkan keluarganya apabila saya beritahu keluarga menerima dia. Alhamdulillah, keluarga Aidil terima hubungan ini dengan baik,” katanya.

Kongsi Fasha lagi, anaknya turut menerima baik kehadiran Aidil dalam hidup mereka dan ia juga antara sebab mengapa dia meneima lamaran pelakon itu.

“Anak manja dengan Aidil. Mereka memanggil Aidil dengan panggilan Pak Ngah. Putra Rayfal sendiri sebelum ini meminta saya untuk berkahwin dan mahukan adik lagi. Mungkin juga permintaan anak menjadi doa sekali gus mendorong saya dan Aidil mengambil keputusan ini,” katanya.

Bercerita mengenai majlis pernikahan dan persandingan, kata Fasha, keluarga kedua-dua pihak sudah bersetuju melaksanakannya pada tahun hadapan namun tarikhnya belum ditetapkan.

“Sama seperti majlis pertunangan, saya merancang mengadakan majlis pernikahan dan persandingan secara sederhana. Bagaimanapun, saya mahu ia dilaksanakan dengan penuh adat.

“Walaupun sederhana bagi saya biarlah ia meriah dengan kehadiran tetamu yang mendoakan kebahagiaan kami,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Fasha majlis sambut menantu yang bakal berlangsung di kediaman keluarga Aidil di Rembau, Negeri Sembilan akan dibuat secara besar-besaran.

“Ini kerana keluarga Aidil mahu meraikan pernikahan dan perkahwinannya yang pertama kali dan pada waktu sama keluarga bakal mentua juga sangat mengikut adat. Disebabkan itu juga keluarga saya sangat menghormati keluarga Aidil,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 6:01am
d