utama

Kenangan putus cinta

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

PETALING JAYA: Anda baru putus cinta dan merasakan dunia ini kosong serta tidak adil kepada diri anda?

Itu persoalan yang disampaikan Persatuan Psikologi Universiti Sunway di sini, melalui Pameran Putus Cinta yang julung kali diadakan di Malaysia bagi memberi sokongan moral kepada individu yang mengalami depresi akibat putus cinta.

Pensyarah Psikologi Universiti Sunway Meng Zhen Lim berkata, hasil kerjasama persatuan berkenaan bersama pengurusan universiti dan pengguna laman sembang sosial, mereka mengumpul barangan peribadi milik 60 peserta membabitkan 43 wanita dan 17 lelaki berusia 20-an untuk dipamerkan di pameran yang diadakan sehari di galeri seni pusat pengajian tinggi swasta itu, semalam.

“Barangan peribadi berbentuk patung beruang, baju kemeja, kasut, rantai, tin bir dan pelbagai lagi yang boleh dikaitkan dengan kisah putus cinta dipamerkan sebagai simbol menghormati kisah sedih mereka.

“Turut diletakkan bersama ialah cerita peribadi mereka yang ditulis individu itu sendiri, namun nama dan identiti tidak didedahkan.

“Dengan cara ini, mereka mampu meluahkan apa yang terpendam dalam hati selain tidak mengambil langkah drastik yang merugikan seperti bunuh diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, objektif utama pameran itu adalah mewujudkan kesedaran mengenai masalah yang dihadapi akibat sesuatu hubungan dan secara tidak langsung membimbing dan membantu individu terutama mereka yang mengalami depresi akibat putus cinta mengatasinya secara positif.

“Realitinya putus cinta sesuatu yang menyakitkan. Selain dirundung kesedihan, seseorang yang putus cinta juga pasti kecewa dan amarah hingga mengalami tekanan perasaan,” katanya.

Menurutnya, lebih 250 pengunjung menghadiri pameran berkenaan termasuk pelajar, kakitangan, pensyarah dan orang awam.

“Ada yang teruja melihat barang pameran itu dan baru menyedari setiap yang dipamerkan memiliki nilainya tersendiri.

“Ada yang lega berikutan mempunyai sokongan individu lain untuk menempuh tempoh masa sukar dan sedih itu,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 8:52am
d