utama

Sayur kereta buruk

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KUALA LUMPUR: Segelintir peniaga warga asing dan pelarian Rohingya yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan letak kereta dan kaki lima Pasar Borong Selayang di sini, dikesan menggunakan deretan kereta terbiar sekitar pasar itu sebagai stor menyimpan sayur-sayuran sebelum dijual.

Tindakan mereka menggunakan kereta berkenaan sebagai ‘peti sejuk’ terbongkar selepas Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan operasi setiap hari bagi membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen di kawasan pasar itu.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa DBKL Azman Mahmood berkata, taktik menyorokkan sayur pukal di dalam kenderaan terbiar atau buruk itu dikesan sejak dua minggu lalu selepas pemantauan dilakukan anggotanya.

Katanya, dalam pemantauan berkala itu, sebanyak 30 kenderaan terbiar terdiri daripada van, lori dan kereta yang dijadikan stor sayur disita kerana meletakkan barang di tempat awam serta menjaja tanpa lesen.

“Kami dapati ada dua kaedah digunakan warga asing atau Rohingya ini iaitu menjual sayur terbuang kepada pembeli dan satu lagi bekalan yang diperoleh daripada rakan mereka di Cameron Highlands Pahang.

“Gerai yang mendapat kelulusan daripada DBKL sebanyak 754, tetapi gerai yang diusahakan mereka ini lebih 1,800. Nilai sayur yang mereka simpan dalam kenderaan dianggarkan bernilai lebih RM100,000,” katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, pihaknya turut merobohkan 20 khemah kekal yang didirikan pelarian untuk berniaga sejak 15 tahun lalu dan menempatkan 20 anggota Rela yang bertugas dua syif bagi mengawal keadaan di situ.

Tindakan itu mengikut Seksyen 46 (1) D kesalahan letak di tempat awam dan Undang-Undang Kecil 3 (1) bertindak sebagai penjaja tanpa lesen.

Menurutnya, sebagai inisiatif menyelesaikan isu itu, pihaknya berunding dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk melatih pelarian Rohingya
di Pusat Latihan Khidmat Negara bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan budaya hidup masyarakat Malaysia.

“Selepas mereka tamat kursus dalam tempoh tertentu, kita tawarkan mereka sebagai pembantu kepada penjaja warga tempatan kerana kita tahu sebagai pelarian, mereka tidak dibenarkan bekerja. Itu hasrat kita,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 9:18am
d