utama

Hanya Allah sahaja tahu...

Oleh Sudirmman Mohd Tahir

“SELAMA lapan tahun hanya saya saja yang menjawab segala persoalan daripada anda mengenai rumah tangga saya.

“Dan hari ini saya ingin memberitahu yang saya tidak akan lagi menjawab segala soalan mengenai rumah tangga saya mahu pun mengenai si dia (Ramli MS). Terpulang kepada kamu ingin mentafsirkan apa,” luah penyanyi Datin Alyah mengenai ‘kekecohan’ yang timbul membabitkan hubungan dengan suami yang juga pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS.

Alyah, 37, atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan berkata hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui apa yang terjadi dan terbuku di hati.

Alyah juga memohon maaf kepada semua atas apa yang berlaku sejak semalam.

“Saya percaya hanya Allah sahaja tahu apa yang ada di dalam ini. Mungkin saya sudah mencuit atau menguris hati di luar sana.

“Saya dengan serendah diri memohon maaf kerana sudah membuatkan anda kecewa. Namun, jauh di sudut hati saya tidak bermaksud sedemikian,” katanya di laman Instagram.

Menerusi status sama, Alyah berkata dia sebagai manusia biasa tidak terlepas daripada ditimpa masalah.

Malah Alyah menganggap apa yang berlaku sejak kelmarin adalah hari terburuk dilaluinya sepanjang tahun ini.

“Dalam setahun ada 12 bulan. Jangan kata penyanyi saja, jadi kita letak semua manusia dalam bumi ini. Tidak Kira dia cikgu, peguam, nelayan atau netizen sekali pun mesti ada hari buruk kita dalam sepanjang tahun itu.

“Jadi saya berasakan dua lalu adalah hari terburuk saya sepanjang tahun ini.

Sebelum saya turunkan komen di IG si dia (Ramli) saya dah tahu apa akibatnya.

“Dan saya sangat pasti dengan apa yang saya buat. Saya bukan budak yang baru dapat telefon. Saya tiada niat untuk mengaibkan sesiapa. Dan kejadian ini tidak terjadi pada setiap hari. Saya percaya ini juga gerak dari Allah bagi mengingatkan saya dan juga si dia.

“Mungkin kami terleka dengan ego dan sifat sering menyalahkan. Air tidak perlu mengatakan yang ia suci, matahari tidak perlu beritahu yang ia kuat, siang tidak perlu marah bagi menyuarakan yang ia hebat,” katanya.

Terdahulu, Alyah menerusi akhbar ini belum bersedia memberikan sebarang kenyataan berhubung ‘kekecohan’ yang berlaku membabitkan dirinya dengan pengguna laman sosial di ruangan komen Instagram suaminya.

Alyah memohon untuk diberi ruang seketika.

Sementara itu, cubaan mendapatkan kenyataan daripada Ramli gagal apabila panggilan tidak dijawab.

Berita berkaitan:'Saya okey' - Alyah

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 3:07pm
d