utama

Ben lega semua dah selesai

Oleh Ramlah Zainal

MELANGKAH ke fasa perkahwinan sememangnya cukup dinantikan pasangan pelakon Ben Ali dan Nadiyah Shahab selepas hampir empat tahun menjalin hubungan cinta.

Ben, 28, dan Nadiyah, 27, selamat diijabkabulkan pada 10 November lalu di Singapura. Majlis persandingan di GlamHall, Damansara Perdana, Kuala Lumpur yang berlangsung Sabtu lalu pula begitu meriah.

Apa yang pasti, detik itu sangat bermakna buat kedua-dua mempelai, apatah lagi tentu pelbagai dugaan dihadapi ketika bercinta.

Ben ketika ditemui berkata, dia bersyukur apabila majlisnya kini sudah selesai.

“Saya boleh menarik nafas lega apabila akhirnya disatukan dengan Nadiyah. Kalau sudah jodoh dan bersedia, kami tidak mahu melengahkan niat untuk melangkah ke fasa rumah tangga pula.

“Memang ada juga cabaran sewaktu dalam proses persiapan menjelang perkahwinan kami. Kesibukan kami berganda apabila dalam pada membuat persiapan, dalam masa sama kami juga pindah ke rumah dan kedai perniagaan baru,” katanya.

Dalam majlis persandingan itu, Ben gembira apabila ramai rakan selebriti hadir meraikan dan memeriahkan majlis itu.

Dia tidak sangka sokongan rakan selebriti begitu padu sehinggakan mereka sanggup tunggu sehingga ke penghujung majlis.

Antaranya ialah Rozita Che Wan dan suami, Zain Saidin, Puteri Aisyah, Wak Doyok, Yaya Zahir, Shima Anuar, Izreen Azminda, Nadia Brian, Datuk Farid Kamil, Fouziah Ghous, Aedy Ashraf, Uqasha Senrose, Aeril Zafrel, Wawa Zainal dan ramai lagi.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Saya amat terkejut apabila semua rakan artis yang dijemput meluangkan masa untuk menghadiri majlis kami. Saya amat-amat terharu dengan sokongan mereka.

“Bukan itu saja, mereka sanggup tunggu untuk bergambar dengan kami pada majlis itu. Bahkan, ada rakan selebriti yang tidak kisah duduk lama dan menunggu sampai majlis tamat,” katanya yang juga Exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bercerita mengenai destinasi bulan madunya, Ben berkata, mereka akan ke Milan dan Rom di Itali yang disifatkannya sebagai bandar raya yang romantik.

Bagaimanapun, mereka hanya akan ke sana pada Januari tahun depan Nadiyah perlu kembali ke lokasi penggambaran manakala dia ada urusan penting yang lain.

“Kami memilih untuk berbulan madu di Milan dan Rome, Itali. Lokasi itu dipilih kerana Itali adalah antara lokasi yang cukup terkenal dengan seni bina hebat selain suasana kotanya begitu sempurna untuk pasangan romantik,” katanya.

Berkongsi mengenai karier lakonan, Ben yang kini aktif dalam politik tidak berhajat kembali berlakon sepenuh masa. Dia juga tidak akan menghalang Nadiyah untuk terus berlakon.

“Selepas meninggalkan dunia lakonan tahun lalu, saya sebenarnya masih ada keinginan untuk berlakon. Bagaimanapun, saya cuma akan memilih tawaran yang tempoh penggambarannya singkat.

“Memandangkan saya kini menguruskan kerjaya Nadiyah, saya memberi kebebasan kepadanya untuk terus aktif berlakon. Saya tidak mahu menghalang mahupun menetapkan syarat apa-apa kepadanya,” katanya.

Pasangan ini bernikah berwalikan bapa Nadiyah iaitu Syed Fuad Syed Ahmad di The Ballroom @ East Coast, Singapura, pada 10 November lalu.

Nadiyah menerima wang hantaran berjumlah RM45,000 manakala mas kahwin pula berupa sebentuk cincin berlian.

Nadiyah menyerahkan lima dulang hantaran berbalas jumlah sama daripada pengantin lelaki.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 5:30am
d