utama

Nak 'daddy baru' main bola!

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON popular Rita Rudaini terkejut mendengar permintaan anak sulungnya, Airit Rayyan, 9, yang mahukan dia mencari bapa baru dalam kalangan pemain bola sepak.

Rita, 42, berkata itu antara perkara yang paling sukar dijawab apatah lagi membabitkan soal perkahwinan.

"Saya pun tak tahu kenapa Rayyan secara tiba-tiba tanya soalan ini hinggakan tergamam sekejap nak beri reaksi macam mana. Paling terkejut dia nak pemain bola itu solo, terkenal dan hebat.

"Kalau memang saya sedang berkawan dengan pemain bola sepak, sekurang-kurangnya boleh jugalah saya jawab. Tetapi sekarang, dengan orang biasa pun tak ada.

"Saya bercakap jujur kepada anak, buat masa sekarang mereka adalah keutamaan dan fokus saya. Pengalaman dalam perkahwinan lalu mengajar saya banyak perkara. Jadi, saya tak mahu pisang berbuah dua kali," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rita, alasan utama Rayyan adalah bagi membolehkan bapa baru itu melatihnya bermain bola sepak.

"Saya tanya Rayyan, kenapa nak kena cari 'daddy' baru dan dia jawab senang nak ajar main bola. Saya tanya lagi, kalau bukan pemain bola, dia tetap juga nak saya cari pemain bola.

"Sejak anak aktif dalam sukan ini, mereka memang suka bercakap mengenai dunia bola sepak. Pergi mana-mana pun asyik topik bola saja. Saya pun layankan saja. Mujurlah ada sedikit pengetahuan. Jadi, tidaklah saya 'blur'," katanya.

Dalam masa sama, Rita menafikan tindakannya memuat naik status berkenaan kecenderungan anaknya dalam sukan itu semata-mata untuk menarik perhatian bekas suami.

"Kalau saya nak tarik perhatian bekas suami, sudah lama saya buat. Dan tak perlu nak gunakan sentimen anak dan bola sepak. Saya pernah berada dalam hidupnya, jadi saya tahu banyak perkara mengenainya.

"Kepada mana-mana pihak yang kurang senang dengan apa yang saya muat naik, cuba buat perkara lain yang lebih berfaedah. Jangan nak cari salah orang saja. Fikir macam mana nak majukan diri sendiri dan bukan nak menyibuk hal orang lain," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 3:16pm
d